Pertembungan 4 bekas pendidik Hulu Terengganu 

Pertembungan 4 bekas pendidik Hulu Terengganu 

DARI kanan: Rozi Mamat, Rosol Wahid, Mohd. Khadri Abdullah dan Alias Ismail mengangkat tangan pada penamaan calon Parlimen Hulu Terengganu di Kuala Berang, Hulu Terengganu. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seramai empat bekas pendidik menjadi calon di kerusi Parlimen Hulu Terengganu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Penyandang Parlimen itu, Datuk Rosol Wahid yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Rozi Mamat (Barisan Nasional) serta Alias Ismail merupakan bekas guru, sementara calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mohd. Khadri Abdullah pula bekas pensyarah di Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC).

Keempat-empat calon berkenaan diumumkan sebagai calon di Parlimen itu oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Terengganu, Adnan Abdullah pada pukul 10.55 pagi.

Kira-kira 5,000 penyokong parti-parti yang bertanding hadir memberikan sokongan kepada calon masing-masing seawal pukul 7 pagi. 

Mohd. Khadri yang kini bergelar seorang kontraktor merupakan calon pertama tiba di pekarangan pusat penamaan calon tersebut pada pukul 8.10 pagi.

Lima minit kemudian, Alias bersama lebih 20 penyokong tiba di pusat penamaan calon sebelum disusuli Rosol pada pukul 8.20 pagi dan Rozi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong pukul 8.55 pagi. 

Sementara itu, pada PRU14, Rosol yang bertanding atas tiket BN memenangi kerusi Hulu Terengganu dengan majoriti 2,868 undi menewaskan calon Pas, Muhyiddin Abdul Rashid dan calon Bersatu,  Datuk Razali Idris.

Bagaimanapun, kerusi Hulu Terengganu bertukar menjadi milik Bersatu apabila penyandangnya, Rosol keluar UMNO selepas PRU14 dan menyertai Bersatu pada Disember 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya