LANGKAWI: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) merekodkan kemasukan pengunjung ke pulau pelancongan itu sebanyak 1.8 juta orang sehingga September lalu, berbanding 3.9 juta sepanjang 2019.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, data kemasukan pelancong itu banyak dipengaruhi perjalanan feri yang terhad dan sekiranya perjalanan feri ditambah, angka kemasukan pengunjung ke Langkawi akan meningkat.
“Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk kajian pembinaan terminal baharu feri di Kuala Perlis.
“LADA minta kajian itu disegerakan supaya pembinaan terminal baharu di lokasi yang lebih baik juga boleh dilaksanakan dengan cepat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Nasaruddin berkata, pemulihan industri pelancongan Langkawi dapat dipercepatkan apabila perkhidmatan feri dan terminal berkenaan ditambah baik.
Tambahnya, perancangan jangka panjang perlu disertakan dengan pembinaan terminal baharu feri di Kuala Kedah dan Kuala Perlis kerana Langkawi masih menerima sambutan baik daripada pelancong.
“Namun perjalanan feri yang terhad menyebabkan bilangan kedatangan pelancong ke sini terkesan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata, kabel boya tambatan kapal pengerukan berhampiran Terminal Feri Kuala Kedah yang menyebabkan dua insiden feri terkandas kini dialihkan bagi memastikan alur pelayaran itu selamat untuk perjalanan feri.
Katanya, mereka telah mengadakan perbincangan dengan kontraktor yang melakukan kerja-kerja pengerukan tersebut yang turut dihadiri Jabatan Laut Malaysia (JLM).
“Kontraktor telah bersetuju untuk memindahkan tambatan kapal pengerukan tersebut ke sebelah kanan, supaya kabel tambatan itu tidak melintang di alur pelayaran feri serta telah membuka laluan untuk feri berlayar.
“Jadi penumpang tidak perlu lagi berasa bimbang untuk menggunakan perkhidmatan feri kerana sudah tidak ada halangan yang mengganggu alur pelayaran buat masa ini. Boya tambatan tersebut telah dialihkan bagi menjadikan alur pelayaran di Kuala Kedah selamat,” katanya.
Jelas beliau, pihaknya berharap insiden seperti itu tidak berlaku lagi dan tiada halangan yang mengganggu alur pelayaran apabila kerja-kerja pengerukan semakin menghampiri terminal feri. – UTUSAN