Perasaan bercampur baur mangsa banjir keluar mengundi 

Perasaan bercampur baur mangsa banjir keluar mengundi 

JURIAH Mohd Desah selesai menunaikan tanggungjawab mengundi walaupun mengenang rumahnya kotor ditenggelami banjir di Bangi, Selangor.- UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Perasaan tertekan menyelubungi beberapa penduduk Kampung Bangi, di sini yang  menjadi mangsa banjir, namun pada masa sama, tetap keluar mengundi demi melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

Seorang penduduk Kampung Bangi yang juga suri rumah, Juriah Mohd Desah, 60, berkata, dia dan suami keluar awal pagi untuk segera menjalankan tanggungjawab mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Sekolah Kebangsaan Bangi.

Katanya, mereka yang mengundi Saluran 1 merasakan sedikit berbeza apabila perasaan bercampur baur melihat keadaan rumah yang kotor selepas dilanda banjir, Khamis lalu. 

“Bayangkan bangun pagi melihat keadaan rumah dengan pelbagai kelengkapan rosak dan ada yang perlu dicuci, malah dalam masa sama hujan tetapi kami perlu pergi mengundi bagi menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. 

“Tahun ini sahaja, sudah beberapa kali rumah kami dilanda banjir dan baru-baru ini, rumah ditenggelami sehingga paras peha. 

“Kami tinggal di sini sejak 2013 dan banyak kali banjir berlaku dan paling teruk, Disember tahun lalu, apabila banjir sehingga paras bumbung,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Bangi, di sini hari ini. 

Juriah berkata, dia berharap sangat calon yang menang dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat. 

“Kami penduduk di sini mahu masalah banjir ini dapat diatasi kerana sudah tidak sanggup berdepan kerugian dan penat membersihkan rumah,” katanya. 

Seorang lagi penduduk yang juga bapa tunggal dua anak, Zulhamdizam Ramli, 47, berkata, perasaan untuk mengundi berbelah bahagi kerana baru menjadi mangsa banjir, di samping memikirkan keadaan rumah yang kotor dan hari hujan. 

“Namun memikirkan PRU15 adalah peluang untuk mendapatkan kerajaan yang kukuh, maka saya bersemangat untuk pergi mengundi walaupun hujan.

“Apabila sudah ada kerajaan, kami yang juga mangsa banjir ada tempat untuk rujuk bagi mendapatkan bantuan sekali gus mereka yang menang perlu membantu kami dengan mencari penyelesaian mengatasi isu banjir,” katanya. 

Terdahulu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata penduduk yang selesai mengundi kembali mengemas dan mencuci rumah termasuk kelengkapan rumah mereka yang kotor kerana kesan lumpur akibat banjir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya