IPOH: Perak mampu menjadi penyumbang kerusi Parlimen terbesar kepada Barisan Nasional (BN) selain Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bekas Setiausaha Agung UMNO dan BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, BN Perak dijangka mampu memenangi 11 hingga 12 kerusi Parlimen.
Menurutnya, Perak antara negeri yang mempunyai potensi besar untuk menyumbang sejumlah besar kerusi Parlimen berbanding pilihan raya sebelum ini.
“Namun BN tidak boleh terlalu selesa kerana dinamik politik dalam masa tiga empat hari boleh berubah terutama pada tiga hari terakhir apabila pengundi muda balik,” katanya kepada pemberita selepas program perjumpaan santai bersama jentera BN di Pejabat UMNO Bahagian Tambun di sini semalam.
Turut hadir calon BN Parlimen Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah; calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, Datuk Azizul Kama Abdul Aziz dan calon BN DUN Hulu Kinta, Datuk Mazlan Abdul Rahman.
Annuar berkata, secara umum proses berkempen jentera BN berjalan baik dan berjalan lancar.
“Proses kempen pilihan raya berjalan dengan baik, tidak ada pekara-pekara besar yang menghalang. Namun, kita harap dalam dua tiga hari akan datang tidak akan ada banjir dan sebagainya,” katanya.
Pada PRU14, BN Perak menang 11 kerusi Parlimen iaitu Lenggong, Kuala Kangsar, Gerik, Padang Rengas, Bagan Serai, Larut, Tapah, Bukit Gantang, Bagan Datuk, Pasir Salak dan Parit.
Sementara itu, Annuar berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi cuti khas sempena PRU15 adalah untuk memberi penghormatan kepada pengundi yang berada di luar dan pengundi muda.
“Kali ini kerajaan, PM bagi cuti, ketiadaan tol dan sebagainya kerana PM nak beri penghormatan kepada pengundi yang berada di luar dan pengundi muda yang pertama kali mengundi,” katanya. – UTUSAN