Penternak didenda RM5,000 pindah 20 kambing tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

Penternak didenda RM5,000 pindah 20 kambing tanpa kebenaran

PENTERNAK, S. Davamaran (kiri) didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah memindahkan 20 ekor kambing tanpa kebenaran JPV Pulau Pinang di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seorang penternak didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memindahkan 20 ekor kambing jantan tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri bulan lalu.

Tertuduh, S. Davamaran, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memindahkan 20 ekor kambing jantan hidup tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah Negeri atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi bahu jalan berhadapan sebuah kilang besi di Jalan Ara Kuda, Mengkuang Titi di sini kira-kira pukul 6.30 petang, 21 Oktober lalu.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Perintah 4(1)(a) Perintah Haiwan (Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut) 2003 yang dibaca bersama Subseksyen 36(1)(c)(i) Akta Binatang 1953 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000.

Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar negeri, Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selain denda, mahkamah turut memerintahkan wang cagaran untuk 20 ekor kambing bernilai RM6,000 dilucut hak kepada jabatan manakala lori yang digunakan untuk mengangkut haiwan dipulangkan semula sejurus prosiding selesai.

Tertuduh kemudian membayar denda tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN