MELAKA: Kerusi Parlimen Tangga Batu menyaksikan pertembungan lima penjuru apabila seorang peniaga shell out muncul sebagai calon Bebas di Pusat Penamaan Calon di Dewan Kompleks Sukan Komuniti Krubong di sini hari ini.
Mohammad Shahril Mahmood, 40, yang merupakan anak kelahiran Bachang tiba pada pukul 8.40 pagi memakai baju Melayu biru gelap.
Dia yang memilih logo Pen memberitahu, keputusan untuk bertanding di kerusi itu dibuat demi menggalakkan rakyat memilih mereka yang masih ‘bersih’ daripada isu rasuah.
“Ini pertama kali saya sertai politik dan ingin menggunakan peluang ini sebab Malaysia sudah terlalu bercelaru dengan masalah rasuah.
“Misi saya adalah hendak galakkan masyarakat sokong calon Bebas supaya tidak ada parti yang ada ‘bos-bos’ di atas, dikawal,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, Parlimen Tangga Batu dijangka membabitkan pertembungan empat blok parti dominan.
Barisan Nasional (BN) mempertaruh Naib Presiden MCA, Datuk Lim Ban Hong; Pakatan Harapan (PH) diwakili penyandang kerusi, Rusnah Aluai manakala Perikatan Nasional (PN) meletakkan Bakri Jamaluddin dan Gerakan Tanah Air (GTA), Ghazali Abu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerusi Tangga Batu dimenangi Rusnah atas tiket PKR dengan majoriti 4,659 undi. – UTUSAN