Peniaga dipenjara enam bulan pukul kucing hingga mati

Peniaga pisang goreng dipenjara enam bulan pukul kucing hingga mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang peniaga pisang goreng dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memukul seekor kucing jantan jalanan menggunakan penyapu sehingga mati.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap wanita warganegara Indonesia, Hotimah, 60, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, Hotimah didapati dengan kejam memukul seekor kucing menggunakan sebatang penyapu pukul 7.45 pagi pada 20 Ogos lalu di sebuah kedai tidak bernombor tepi jalan, Serdang Jaya, Seri Kembangan di sini.

Berikutan itu pertuduhan terhadap OKS dikemukakan mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (akta 772) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 29(1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Hotimah yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan dengan alasan menghidap sakit jantung.

“Saya mengaku melakukan kesalahan (pukul kucing) minta maaf tuan…saya akur,” katanya.

Bagaimanapun Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Vaterinar Selangor, Mohd. Sharif Sabran memohon mahkamah mengenakan hukuman berat sebagai pengajaran kepada OKS.

“Dalam kes ini, OKS telah memukul seekor kucing sehingga mati. Tindakan OKS sangat kejam apatah lagi haiwan yang dipukul itu langsung tidak mengganggu atau merosakkan hartanya,” kata Mohd. Sharif.

Mengikut fakta kes, Hotimah yang sedang menjalankan kerja pembersihan di premis tersebut melihat seekor kucing di atas kerusi.

OKS kemudian telah memukul kucing tersebut menggunakan sebatang penyapu sehingga mati.

Ekoran kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat dan OKS ditahan bagi membantu siasatan.

Hasil bedah siasat mendapati kesan retakan pada tengkorak di bahagian kiri kepala kucing itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya