PETALING JAYA: Tepat pukul 6 petang menandakan waktu pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ditutup dan kini debaran menanti pengiraan kertas undi oleh para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sebanyak 8,958 pusat membabitkan 38,348 saluran dibuka mula 8 pagi tadi untuk memberi peluang kepada kira-kira 20 juta pengundi mengundi.
Setakat 4 petang tadi, sebanyak 70 peratus pengundi telah menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.
Kira-kira 20 juta rakyat Malaysia mengundi hari ini dalam PRU15 bagi menentukan parti atau gabungan yang mendapat mandat membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.
Kempen PRU15 yang bermula pada 5 November berakhir tengah malam tadi dengan hari ini ditetapkan hari pengundian di seluruh negara.
PRU15 diadakan setelah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen selaras Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan pada 10 Oktober lalu.
Selain memilih 222 ahli Parlimen, PRU15, pilihan raya kali ini turut membabitkan tiga negeri iaitu Perlis, Perak dan Pahang. – UTUSAN