PADANG BESAR: Proses pengundian undi awal anggota tentera sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di beberapa lokasi di negeri ini berjalan lancar.
Tinjauan Utusan Malaysia di 30 Briged Kem Bukit Cowder di sini mendapati proses tersebut cukup tenang dan teratur di mana anggota dan pasangan keluar mengundi sejak awal pagi.
Rata-rata anggota tentera dilihat berkumpul sebelum pusat pengundian dibuka dan beratur sebelum pukul 8 pagi..
“Pegawai serta anggota tentera telah dilatih berdisiplin, jadi tidak timbul sebarang masalah dan biasanya proses pengundian akan tamat sebelum petang.
“Setakat ini semua proses pengundian berjalan lancar dan tidak ada sebarang benda yang tidak diingini berlaku di pusat-pusat pengundian,” kata seorang anggota ketika ditemui di Kem 30 Briged Bukit Cowder di sini hari ini.
Turut hadir, calon PH Parlimen Padang Besar, Kapten (B) Mohamad Saad@Yahaya dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer, Siti Berenee Yahaya yang meninjau perjalanan proses pengundian awal itu.
Seramai 1,267 pegawai dan anggota tentera termasuk 573 pasangan mereka membuang undi menjadikan semua 1,840 terlibat dalam proses pengundian awal di Perlis hari ini.
Proses pengundian awal dijalankan di tiga pusat pengundian iaitu di Dewan Syed Faizuddin, Rejimen 504 Askar Wataniah (AW) Kem Bukit Keteri; Dewan Sajian, Rejimen Renjer Diraja dan Dewan Serbaguna 30 Briged Kem Bukit Cowder bagi DUN Beseri serta Mata Ayer dalam Parlimen Padang Besar.
Undian awal bagi Parlimen Arau pula melibatkan DUN Pauh dan Tambun Tulang pula berlangsung di pusat pembuangan undi di Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Palapes Universiti Malaysia Perlis (Unimap). – UTUSAN