GOMBAK: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar yakin gelombang perubahan dalam kalangan pengundi yang mahu BN menerajui negara akan terbukti ketika hari pengundian 19 November depan.
Noh berkata, menerusi pemantauan selama beberapa hari kempen berlangsung, beliau percaya pengundi kini terutama anak muda menilai kemampuan dan kredibiliti calon yang bertanding tanpa melihat parti.
“Kita meletakkan calon-calon yang sememangnya berkaliber dan kuat. Sebagai pemimpin, kita tidak ada kepentingan diri. Ikhlas dalam berkhidmat untuk masyarakat. Pengikut dan pengundi akan menghormati kita.
“Pengundi sekarang tengok calon, bukan lagi parti. Mereka menilai, mengkaji khidmat yang ditawarkan. Kalau kita boleh menang di Gombak, percayalah Selangor kita mampu tawan semula,” jelasnya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu berkata demikian dalam majlis Ceramah Perdana bersama calon Parlimen Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin di Dewan PKGS, Gombak di sini.
Dalam ucapan sama, penyandang Parlimen Tanjung Karang selama enam penggal itu turut meluahkan kekecewaan apabila tidak dipilih untuk bertanding di kerusi tersebut namun memilih kekal setia bersama BN.
“Bila kita pilih calon bertanding, saya lihat Khairy Jamaluddin, Megat Zulkarnain dan ramai lagi mampu merampas semula Selangor. Tetapi bila saya susun kerusi calon, rupa-rupanya kerusi saya sendiri ‘dicuri’.
“Tak apa, saya reda. Cuma saya sedih, diterajang begitu. Tetapi benda sudah berlaku, saya tidak lari daripada perjuangan. Tetap bersama BN,” katanya. – UTUSAN