Pengundi Sungai Buloh masih setia dengan PH - Ramanan

Pengundi Sungai Buloh masih setia dengan PH – Ramanan

R. RAMANAN (kiri) berbual dengan anggota tentera yang selesai membuang undi awal di Kem Tentera Paya Jaras, Sungai Buloh, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan menegaskan pengundi PH di kerusi tersebut masih setia dengan parti itu.

Menurut Ramanan, kenyataan Calon Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin bahawa pengundi PH di Sungai Buloh dalam dilema untuk memilih beliau atau PH disifatkan sebagai mengelirukan pengundi.

Malah, Ramanan berkata, dakwaan Menteri Kesihatan itu tidak pernah wujud ekoran pengundi PH masih berpendirian tetap untuk mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri 20 November ini.

“Saya pikir dia sangat keliru, pengundi PH masih setia dengan PH kerana mereka mempunyai satu matlamat dan hala tuju untuk mengangkat Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri dan itu sahaja yang penting.

“Pengundi PH memang setia dan semuanya bagus-bagus sahaja serta tidak wujud kekeliruan hendak pilih siapa dalam kalangan mereka dan sebab itu kita namakan PH,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau proses undi awal melibatkan anggota beruniform di Kem Sungai Buloh Markas 11 Briged, Kem Paya Jaras dan Balai Polis Kampung Baru Subang, di sini, hari ini.

Ramanan turut menasihati Khairy agar tidak sibuk memberitahu keadaan pengundi PH sedangkan BN sendiri juga tidak tahu apa yang berlaku dikalangan pengundi mereka.

“Nasihat saya jangan pandai-pandai beritahu kita apa berlaku, cukuplah tipu dan pusing sana sini.

“Apa dia sudah lupa bahwa pengundi sekarang tidak akan tertarik dengan janji manis mereka (BN) kerana sudah banyak kali tertipu sejak beberapa PRU lepas,” katanya.

Semalam Khairy mendedahkan pengundi PH di Sungai Buloh menyatakan mereka di dalam dilema untuk mengundi beliau atau Ramanan.

Menurut Khairy, angin perubahan sedang berlaku di Sungai Buloh di mana beliau melihat pengundi PH yang di dalam dilema cenderung untuk menyokongnya.

“Mereka kata mahu beri kepada KJ tetapi mereka pengundi tradisi Harapan (PH),” katanya.

Parlimen Sungai Buloh bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Khairy (BN), Ramanan (PH), Mohd. Ghazali Md. Hamin (PN), Mohd. Akmal Mohd. Yusof (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan Nurhaslinda Basri serta Syed Abdul Razak Syed Long Alsagof masing-masing calon Bebas.

Pada PRU14 dalam persaingan di P.107 Sungai Buloh, S. Sivarasa meraih 43,631 undi menewaskan Nuridah daripada Pas yang memperoleh 16,977 undi, A.Prakash Rao mewakili BN (16,681) dan Zainurizzaman Moharam dari PSM (642). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya