Pengundi pos bimbang, kertas undi lewat sampai

Pengundi pos bimbang, kertas undi lewat sampai

KERTAS undi pos yang baru diterima Faizal Masad di Segamat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Hanya berbaki lima hari lagi hari mengundi, beberapa individu yang layak mengundi secara pos masih belum menerima kertas undi  masing-masing.

Bagi Helmi Hussain, 30, anak jati Segamat yang menjadi petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di daerah Dungun, Terengganu khuatir tidak dapat melaksanakan tanggungjawabnya sekiranya kertas undi tersebut lewat sampai.

“Sepatutnya kertas undi pos tersebut sudah sampai kerana pihak terbabit mempunyai waktu yang mencukupi untuk membuat persediaan untuk menghantarnya sejak pembubaran Parlimen.

“Hingga hari ini saya masih lagi menunggu. Saya agak bimbang kerana tarikh mengundi sudah dekat, takut kertas undi itu tidak sempat saya kembalikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, Faizal Masad, 37, pula memberitahu, kertas undi pos miliknya baru sampai hari ini di kampung halamannya di Segamat.

“Saya berada di Kuala Lumpur sekarang. Ibu saya ada menerima undi pos saya di rumah pagi ini. Saya sudah pulang ke Segamat minggu lalu dengan harapan kertas undi pos tersebut tiba. 

“Kalau ikut prosedur, kita perlu memulangkan semula kertas undi pos itu selepas dipangkah dan mengisi beberapa butiran peribadi.

“Jadi, kalau hari ini baru sampai, saya pula tiada di rumah, ini menyulitkan keadaan saya yang perlu pulang ke kampung halaman lebih awal,” katanya.

Mengikut Peraturan 8 dan 12 dalam Akta Pilihan Raya 1958, kertas undi pos perlu diterima pegawai pengurus tidak lewat dari pukul 5 petang pada hari mengundi.

Sejak kebelakangan ini, beberapa rakyat Malaysia di luar negara turut menghadapi kesulitan yang sama apabila masih lagi menunggu kertas undi pos mereka yang belum kunjung tiba di kediaman masing-masing sebelum hari pengundian Sabtu ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya