Pengundi muda Putrajaya seperti cucu saya sendiri - Ku Nan

Pengundi muda Putrajaya seperti cucu saya sendiri – Ku Nan

TENGKU Adnan Tengku Mansor beramah mesra bersama golongan muda semasa turun padang di Medan Selera Presint 16 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atau Ku Nan yakin dapat menguasai undi anak muda di Putrajaya kerana sudah menggangap mereka seperti cucu sendiri.

Calon Barisan Nasional (BN) P125 Putrajaya itu berkata, beliau sudah mengenali anak muda di sini sejak mereka kecil lagi, malah bermula 2004 lagi.

“Saya sayang anak-anak muda di Putrajaya ni. Saya kenal mereka sejak dari kecil dan mereka membesar di depan mata saya. Saya kenal mereka semua, macam keluarga dan cucu saya.

“Kalau tanya mereka pun pasti mereka akan kata kami macam keluarga. Saya amat mesra dengan mereka semua,” katanya ketika ditemui selepas beramah mesra bersama penduduk di Medan Selera Presint 16, di sini hari ini.

Katanya, hubungan rapat itu sudah lama terjalin dan beliau berharap ia dapat diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Ku Nan berkata, ketika menjawat Menteri Wilayah Persekutuan, beliau memperkenalkan V4Putrajaya iaitu sukarelawan anak muda berusia antara 15 hingga 17 tahun.

Seramai 47,886 pengundi berdaftar layak mengundi bagi Parlimen Putrajaya pada PRU15 di mana 53 peratus daripadanya adalah anak muda berusia 18 hingga 39 tahun yang mewakili seramai 25,415 pengundi.

Ditanya sama ada undi18 jadi penentu berikutan saingan enam penjuru di Putrajaya, Tengku Adnan berkata, beliau tidak beranggapan sedemikian, sebaliknya undi itu akan ‘pergi’ kepada dirinya.

“Saya tidak rasa gerun dengan kehadiran dua calon bebas yang bertanding kerana ini negara demokrasi dan semua berhak untuk bertanding.

“Saya bertanding sudah empat kali dan melawan orang-orang besar termasuk Timbalan Presiden PKR, Naib Presiden Pas, Pengerusi Pas Wilayah Persekutuan dan PRU14 lalu melawan profesor.

“Cuma saya hairan kenapa mereka nak datang sini dan ganggu saya sebab di sini tiada masalah, semuanya hidup harmoni,” katanya.

Katanya, beliau berharap pengundi Putrajaya dapat menilai calon terbaik dan memberi pengajaran kepada mereka pada PRU15 ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya