SUNGAI PETANI: Rata-rata pengundi yang pertama kali menunaikan tanggungjawab masing-masing menyatakan rasa gementar, teruja dan puas apabila selesai mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Menurut Umi Zatul Habesah Mazlan, 21, dari Kampung Rantau Panjang berkata, dia sememangnya gementar sejak dua minggu lalu selepas membuat semakan dan mendapati tersenarai sebagai pengundi untuk PRU15.
“Sebelum ini saya hanya dengar daripada ibu bapa perasaan mereka sebaik pulang daripada mengundi dalam pilihan raya terdahulu.
“Kali ini saya sendiri rasa bagaimana jadi pengundi untuk menentukan barisan kepimpinan mentadbir negara untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya yang mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, Kota Kuala Muda di sini.
Bagi Nur Asma Alias, 18, dia teruja kerana menjadi sebahagian daripada rakyat negara ini yang boleh membuat keputusan memilih pemimpin negara bagi menjaga kebajikan rakyat.
“Walaupun masih berstatus remaja, saya teruja kerana diberikan hak untuk tentukan pemimpin. Terima kasih kerana menghargai pandangan kami yang disalurkan melalui peti undi yang menandakan kami turut mendapat hak sewajarnya sebagai warga negara tercinta,” katanya.
Remaja daripada Kota Kuala Muda, Muhamad Redhuan Rosman, 20, berkata, dia merasa puas kerana dapat menunaikan tanggungjawabnya menjadi pengundi.
“Sebelum ini tidak timbul perasaan sayangkan negara berikutan lebih memberi tumpuan kepada berseronok untuk menghabiskan masa remaja. Tetapi selepas layak jadi pengundi saya mula berfikir peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan sebagai rakyat,” katanya. –UTUSAN