Pengundi muda buat kajian sebelum mengundi - Utusan Malaysia

Pengundi muda buat kajian sebelum mengundi

DIVYA Karasi Krishnan (baju merah jambu, dua dari kanan) bersama adik dan kakaknya teruja selepas mengundi di Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Kuala Lumpur - UTUSAN/ARIF AIMAN ASROL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengundi kali pertama dan muda membuat kaji selidik terhadap calon terlebih dahulu sebelum ke pusat mengundi bagi memangkah calon pilihan menjadi wakil rakyat mereka.

Divya Karasi Krishnan, 21, berkata, sebagai pengundi baharu, dia teruja mengundi untuk calon Parlimen Batu di Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa.

Menurutnya, individu rapat yang mengajar tentang proses mengundi dan sebagainya sebelum ke pusat mengundi.

“Kami betul teruja untuk memilih bakal pemimpin yang baik yang boleh membantu negara dan sebagainya. Semasa masuk ke dalam pusat mengundi kami betul-betul gementar walaupun selepas memangkah calon pun tangan masih menggigil.

“Kami memang sudah putuskan siapakah calon yang kami inginkan. Kami bertanya kepada ibu bapa, adik-beradik dan rakan-rakan lain tentang bagaimana proses mengundi,” katanya ketika ditemui pemberita.

Parlimen Batu menyaksikan pertembungan 10 penjuru bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), antara calon yang bertanding adalah P. Prabakaran (Pakatan Harapan), Datuk A. Kohilan Pillay (Barisan Nasional), Azhar Yahya (Perikatan Nasional) dan Tian Chua (Bebas).

Sementara itu, Bryan Tan, 24, berkata, dia membuat semakan setiap calon sebelum mengundi berdasarkan rekod dan sumbangan calon kepada masyarakat.

“Saya buat kajian terhadap calon sendiri dan saya dah putuskan untuk mengundi siapa sebelum ke pusat mengundi lagi. Saya lihat kriteria mereka dari segi kad laporan, sumbangan dan juga parti,” katanya.

Tambahnya, dia berharap calon yang menang di Parlimen Batu adalah individu beramanah dalam menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Saya mahukan calon yang berkriteria seperti amanah dalam menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, berani mengambil risiko dan cabaran.

“Wakil rakyat juga perlu rajin, prihatin terhadap apa yang rakyat mahukan dan menyuarakan masalah yang dihadapi oleh rakyat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya