KUALA LUMPUR: Perubahan ketara ditunjukkan pengundi Cina terhadap calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Tenom, Jamawi Jaafar memberi gambaran yang mereka mulai menerima parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan lebih positif.
Jelasnya, penerimaan pengundi Cina itu dikatakan berbeza dengan sebelum ini yang dilihat tidak begitu mesra seperti kali ini.
Bagaimanapun katanya, beliau perlu untuk meneruskan usaha menyantuni para pengundi dengan lebih dekat dengan masa yang ada berbaki dua hari lagi.
“Saya dapati mereka bersikap lebih ramah terhadap calon BN pada PRU kali ini, sebab pada PRU lepas apabila kita cuba mendampingi mereka, feedback tidak begitu mesra tapi kali ini mereka sudah sudi berjabat tangan, mereka sudi menerima flyers dan mereka tengok.
“Keseluruhannya respons mereka sangat positif,” katanya.
Menurutnya, perubahan itu adalah berdasarkan faktor gerak kerja yang sudah digerakkan sejak 2004 lagi.
Maka, kesan daripada itu, beliau semakin dikenali khususnya penduduk dan pengundi di Parlimen Tenom.
“Semasa berkempen, kami pergi merata tempat dan kami berjumpa orang Cina mereka kata kenal saya.
“Mereka memberikan kata-kata dorongan supaya kami kuat kerja lagi, kempen di banyak tempat jumpa dengan semua orang. Berjumpa pengundi sangat penting sebab itulah final impressions yang kita boleh tinggalkan kepada mereka sebelum mereka mengundi,” katanya. – UTUSAN