KUALA KRAU: Semua pengundi awal termasuk anggota polis yang akan memilih esok tidak perlu ‘takut’ dengan tekanan daripada mana-mana pihak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU14), 19 November ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, mereka bebas untuk memilih mana-mana parti mengikut pertimbangan masing-masing.
“Saya nasihatkan sebagai warganegara Malaysia, yang termaktub di bawah undang-undang kena keluar mengundi, tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal dan pengundi biasa pada 19 November nanti.
“Jangan takut kerana ketenteraman awam memang terjamin dan jangan rasa takut kalau kita undi ini ada ugutan daripada majikan, daripada bos, kita bebas memilih.
“Undilah ikut pemikiran dan pertimbangan yang waras iaitu sama ada hendak mencari kestabilan dan kemakmuran atau yang lain-lain,” katanya ketika ditemui selepas program bersama ibu tunggal anjuran MCA Kuala Krau di sini hari ini.
Sejumlah 265,531 pengundi dalam kalangan anggota polis dan tentera menjadi kumpulan pertama yang akan menentukan mandat kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 melalui proses pengundian awal esok.
Jumlah itu terdiri daripada 146,737 orang tentera serta pasangan dan 118,794 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am.
Ismail berkata, polis sentiasa memastikan ketenteraman awam khususnya sepanjang tempoh berkempen dan hari mengundi supaya proses pilihan raya berjalan baik.
Justeru katanya, semua pengundi tidak perlu takut dan bimbang dengan aspek keselamatan masing-masing untuk turun mengundi.
Dalam pada itu beliau yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kuala Krau yakin semua pengundi termasuk pengundi awal akan membuat pilihan terbaik dalam menentukan kerajaan mana yang harus dipilih demi kestabilan negara.
“Mereka (pengundi awal) tahu, mana-mana berkhidmat di sini tahu kalau berlaku banjir siapa yang turun bersama, kalau berlaku bencana ribut siapa yang turun bersama, kalau berlaku sesuatu masalah sakit pening siapa yang turun bersama, yang paling penting kerjasama kita dengan jabatan kerajaan, penjawat awam termasuk polis sangat bagus,” ujarnya. – UTUSAN