SHAH ALAM: Penduduk Jalan Siswi Kampung Sungai Kandis merayu pemaju projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE) untuk memulihkan sistem perparitan yang rosak akibat kerja-kerja menanam cerucuk.
Menurut calon Ahli Parlimen Kota Raja, D.Kajendran, masalah perparitan di kawasan tersebut boleh diselesaikan dengan menaik taraf sistem perparitan dan pemasangan parit U.
“Penduduk di sini membuat memorandum kepada saya bagi menyelesaikan masalah perparitan yang rosak akibat kerja-kerja semasa menanam cerucuk oleh syarikat pemaju projek lebuh raya..
“Gegaran akibat proses memasukkan cerucuk menyebabkan penampan tebing milik penduduk runtuh dan masuk ke dalam parit,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan yang terjejas akibat aktiviti pemaju lebuhraya hari ini.
Kajendran berkata, pihaknya berharap pihak pemaju menyelesaikan segera masalah perparitan tersebut dengan memanjangkan lagi kawasan pemasangan parit U beberapa meter.
“Saya difahamkan parit U sudah dipasang oleh pemaju lebuh raya terbabit tetapi ia tidak memadai. Akibat itu juga berdepan banjir besar yang melanda tahun lepas kerana sistem perparitan sedia ada tidak mampu menampung air hujan berlebihan,”katanya.
Seorang penduduk, Amdan Jemiran, 53, berkata, aduan demi aduan telah dibuat kepada pihak pemaju bagi menambah baik sistem perparitan sedia ada.
Katanya, pihaknya bukan menolak pembangunan tetapi bimbang menjelang musim tengkujuh tidak lama lagi air hujan lebat yang memasuki parit sepanjang Jalan Siswi kembali melimpah hingga menyebabkan banjir besar seperti 18 Disember tahun lalu.
“Saya ucapkan terima kasih dengan kehadiran calon Ahli Parlimen Kota Raja bagi membawa perkara ini kepada kerajaan,” ujarnya. – UTUSAN