Penduduk Shah Alam trauma setiap kali hujan

Penduduk Shah Alam trauma setiap kali hujan

D. KAJENDRAN (kiri) bersama penduduk meninjau lokasi air mula melimpah setiap kali hujan lebat di kawasan Taman Mantap, Shah Alam, Selangor.- UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penduduk Taman Mantap, Seksyen 25 di sini trauma setiap kali hujan selepas kejadian banjir terburuk pada Disember tahun lalu.

Menurut Ketua Penerangan Penduduk Taman Mantap, Asmawi Zakaria, masalah banjir di Seksyen 25 terutama di Taman Sri Muda sepatutnya diselesaikan selepas kejadian bencana alam itu.

“Namun sehingga kini tiada sebarang langkah konkrit untuk mengatasi masalah tersebut dilaksanakan pihak berkuasa. Perbincangan diadakan dengan pihak berkenaan namun hingga kini banjir lebih 0.3 meter terus berlaku jika hujan lebat,” katanya ketika ditemui semasa lawatan calon Parlimen Kota Raja, D. Kajendran hari ini.

Asmawi berkata, banjir di kawasan taman perumahan tersebut berlaku lebih 15 kali sejak tahun 2010 dan paling teruk setinggi 2 meter hujung tahun lalu.

“Penduduk boleh dikatakan hilang semua harta benda dengan kerugian RM60,000 hingga RM70,000 satu rumah. Keseluruhan rumah ada 75 buah,” katanya.

Mengulas mengenai jalan penyelesaian yang dikemukakan pihak berkuasa, Asmawi berkata, pihak terbabit mencadangkan pembinaan tembok dan kunci air, namun sehingga kini tiada sebarang tanda ia mula dilaksanakan.

Sementara itu seorang penduduk, S.Nadarajan, 65, berkata, dia kecewa dengan pihak berkuasa yang meluluskan projek lebuh raya bersebelahan kawasan perumahan tersebut.

“Sepatutnya pihak berkuasa membuat kajian kesan pembinaan projek lebuh raya berhampiran rumah kami. Apa yang berlaku sekarang banjir sering berlaku sejak lebuh raya ini mula beroperasi. Ia berpunca daripada kawasan projek di lokasi tinggi menyebabkan kami di kawasan rendah menghadapi masalah banjir,” katanya.

Sementara itu Kajendran berkata, dia akan menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk sepenuhnya jika terpilih menjadi Ahli Parlimen Kota Raja pada Pilihanraya Umum Ke 15 (PRU15) 19 November depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya