REMBAU: Penduduk serta pengguna jalan raya menggesa pihak berwajib menyegerakan kerja-kerja baik pulih Jalan Panchang-Chengkau dekat Durian Daun di sini, yang ditutup sepenuhnya sejak Sabtu lalu ekoran kejadian tanah runtuh.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Durian Daun, Mohammad Yusoff Muslim, 65, berkata, penutupan jalan tersebut menyukarkan tugas seharian penduduk malah ada keluarga yang tidak dapat menghantar anak mereka ke sekolah.
“Ada beberapa keluarga terpaksa buat keputusan tidak menghantar anak ke sekolah iaitu terletak di Kampung Pilin kerana tidak mampu pusing sejauh lebih 20 kilometer untuk ke sekolah yang sebelum ini hanya terletak kira-kira dua kilometer.
“Ia juga menimbulkan kesukaran buat pelajar serta pekerja di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau yang rata-ratanya menyewa di sekitar pekan Rembau atau kawasan berdekatan.
“Mereka tiada pilihan selain terpaksa mengikut laluan di Pedas atau Astana Raja untuk ke Pilin yang terletaknya kemudahan sekolah serta UiTM. Jadi sebagai mewakili penduduk, saya harap agar laluan ini dapat diberi perhatian segera kerana ia merupakan laluan utama penduduk kampung,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR), Ir. Mohd. Fareid Isa berkata, laluan ditutup sepenuhnya bermula Sabtu lalu sehingga dimaklumkan kelak.
Menurutnya, ini susulan kejadian tanah runtuh di Kilometer 7.
Katanya, jalan alternatif yang boleh digunakan adalah Jalan Kundur-Pilin (N33), Jalan Kota-Lubok China (N12) dan Jalan Port Dickson-Lubok China (FT005).
Dalam pada itu jelasnya, melalui pemeriksaan di tapak mendapati berlaku tanah runtuh lebih kurang sepanjang 70 meter di sebelah kiri jalan.
“Ia disebabkan kegagalan struktur tanah sedia ada yang tidak kukuh selain disebabkan hujan yang berterusan serta terdapat larian air bawah tanah di lokasi tersebut,” katanya. – UTUSAN