ALOR GAJAH: Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin tiba di Pusat Penamaan Calon di Dewan Kompleks Masjid Tanah dekat sini kira-kira pukul 9.00 pagi tadi.
Sejurus selepas tiba, Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka itu sempat bertemu hampir 100 penyokongnya yang menunggu di kawasan dikhaskan sejak pukul 7.30 pagi.
Beliau juga sempat bersalaman dengan ahli keluarga termasuk suami dan anak-anak sebelum masuk ke kawasan penamaan.
Sementara itu, calon Gerakan Tanah Air (GTA), Handrawirawan Abu Bakar lengkap berbaju Melayu berwarna putih tiba pukul 9.02 pagi diiringi pencadang dan penyokong.
Calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid tiba pukul 9.05 pagi diiringi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Mutalib Uthman tiba pukul 9.10 pagi lengkap berbaju Melayu hitam dan bertanjak turut hadir bersama penyokong dan pencadang. – UTUSAN