Penamaan calon diteruskan esok, permohonan peguam ditolak

Penamaan calon diteruskan esok, permohonan peguam ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang pengundi kawasan Parlimen Pandan tidak dibenar menangguhkan perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bermula dengan penamaan calon esok, selepas permohonannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan hari ini.

Syed Iskandar Syed Jaafar yang juga seorang peguam turut gagal mendapat perintah injunksi menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan Malaysia melaksanakan persediaan sehingga hari pengundian pada 19 November ini.

Dengan keputusan itu, proses penamaan calon di seluruh negara diteruskan esok.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan demikian selepas berpuas hati isu-isu yang dibangkitkan, akan didengar dan diputuskan pada rayuan penuh pada 14 November ini.

Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim-Hakim Datuk M. Gunalan dan Datuk Seri Mariana Yahya. Mahkamah tidak mengeluarkan perintah mengenai kos.

Selain memfailkan permohonan bagi menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi, Syed Iskandar turut memohon perintah injunksi bagi menghalang PRU15 dijalankan.

Hakim Vazeer Alam ketika membacakan keputusan tersebut berkata, permohonan bagi menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi itu ditolak kerana hakim bicara tidak mengeluarkan sebarang perintah sama ada melarang atau meneruskan perjalanan PRU15.

“Oleh kerana hakim berkenaan tidak mengeluarkan sebarang perintah, maka tidak perlu bagi panel ini untuk membenarkan permohonan penangguhan. Tiada apa (perintah) untuk ditangguhkan,” ujar beliau.

Ujar Hakim Vazeer Alam, Syed Iskandar turut memohon perintah injunksi agar ‘status quo’ Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan Malaysia dikekalkan (seperti sebelum pembubaran) bagi ‘memelihara’ integriti rayuan yang akan didengar pada 14 November ini.

Namun beliau berpendapat, Syed Iskandar gagal mematuhi peruntukan di bawah Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi mendapat perintah injunksi menghalang kedua-dua responden membuat persediaan bagi menghadapi PRU15.

“Persoalan sama ada rayuan itu akan menjadi sia-sia jika injunksi tidak dibenarkan, tidak timbul kerana rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi telah ditetapkan pada 14 November, iaitu lima hari sebelum tarikh mengundi.

“Segala isu berbangkit akan didengar dan ditentukan pada tarikh itu,” ujar beliau.

Oleh yang demikian, panel itu berpuas hati imbangan kesesuaian (balance of convenience) memihak kepada ketiga-tiga responden yang menyebabkan mahkamah menolak permohonan perintah injunksi.

Dalam permohonannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan Malaysia dinamakan sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Terdahulu, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram berhujah, permohonan yang dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bagi mendapat perkenan pembubaran Parlimen dibuat berlandaskan tujuan dan alasan yang tidak wajar.

Hujah beliau, pihak pemohon tidak mempertikai perkenan YDPA tetapi mempersoal tindakan awal yang diambil oleh Perdana Menteri menghadap Baginda bagi mendapat perkenan yang disifatkan melanggar peruntukan undang-undang.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili responden-responden berhujah, permohonan Syed Iskandar membawa maksud agar mahkamah menukar keputusan YDPA, sama seperti sebelum Parlimen dibubarkan.

Hujah beliau, jika penangguhan dibenarkan, ia akan menyebabkan SPR dihalang melaksanakan tugas keperlembagaannya dan menyebabkan semua perjalanan proses PRU15 terhenti.

“Langkah-langkah telah diambil oleh SPR dan esok ditetapkan untuk penamaan calon, permohonan injunksi ini wajar ditolak,” hujah Shamsul.

Syed Iskandar memohon penangguhan dan perintah injunksi terhadap keputusan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid pada 28 Oktober lalu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakannya.

Hakim berkenaan turut menolak permohonan pengundi kawasan Parlimen Pandan itu untuk menangguhkan keputusan tersebut sementara pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Hakim Ahmad Kamal berpuas hati, permohonan Syed Iskandar remeh dan menyusahkan kerana perkara berhubung pembubaran Parlimen yang diperkenan oleh YDPA, tidak boleh dicabar di mahkamah.

Pada hemat beliau, isu pembubaran Parlimen tidak boleh dipertikai dan jika kebenaran diberikan sekalipun, tidak memungkinkan relif dibenarkan walaupun selepas beliau mendengar perbicaraan penuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya