KEMAMAN: Pemimpin dan penceramah Pas yang mengeluarkan kenyataan ekstrem sehingga menjejaskan imej parti pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan dikenakan tindakan ‘digam’.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan tersebut diambil secara serta-merta untuk menghentikan kenyataan yang menyerang parti lawan secara keterlaluan.
Menurutnya, parti itu mengambil pendekatan memberi penerangan dan bukan menyerang dalam ceramah dan kempen PRU15 .
Katanya, Pas tidak berkompromi terhadap pemimpin dan penceramah mereka yang melakukan kesalahan tersebut dan tindakan itu selari dengan demokrasi aman yang diamalkan Pas sejak dari dahulu lagi
“Kita pantau semua mereka kerana Pas ada dasar, menerang bukan menyerang. Itu konsep dan prinsip yang kita bawa.
“Kalangan kita yang mengambil pendekatan menyerang kita ‘gam’, hentikan daripada serangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada Jelajah Perikatan Nasional (PN) BEST Grand Finale PRU15 di Padang Astaka Cukai di sini, malam tadi.
Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN memberitahu, setakat ini segelintir pemimpin dan penceramah telah dikenal pasti terlibat melakukan kesalahan tersebut.
“Seorang dua (pemimpin dan penceramah) sahaja (terlibat) tidak banyak, terlalu kecil,” ujarnya.
Terdahulu, tular video kempen berdurasi 28 saat ceramah Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd. Shahiful Mhd. Nasir yang mendakwa mereka yang mengundi Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) pada.PRU15 akan masuk neraka.
Kenyataan Mohd. Shahiful itu mengundang kritikan pelbagai pihak sehingga menyebabkan beliau membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan itu.
Sementara itu, pelakon, Zul Huzaimy atau lebih dikenali sebagai Spark pula tampil membuat permohonan maaf berikutan kenyataannya mahu menyembelih orang bukan Islam dalam satu ceramah di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu. – UTUSAN