Pemimpin digugurkan perlu bantu calon BN - Annuar - Utusan Malaysia

Pemimpin digugurkan perlu bantu calon BN – Annuar

ANNUAR Musa (dua dari kiri) menyampaikan tablet PerantiSiswa kepada pelajar di SMTAR di Selekoh, Bagan Datuk, hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Penyandang kerusi Barisan Nasional (BN) yang digugurkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) harus memikirkan masa depan parti dengan turut melakukan sumbangan ke arah kemenangan parti tersebut.

Bekas Setiausaha Agung UMNO dan BN, Tan Sri Annuar Musa berharap mereka yang terlibat tidak memperbesar perkara yang sudah berlaku itu dan sekarang adalah masa untuk membantu kemenangan calon BN.

“(Perkara) yang sudah lepas itu lepaslah, kita sebagai orang beriman harus percaya kepada qadak dan qadar, kita tidak boleh putus asa. Ia kerana membina parti memerlukan masa yang lama, untuk merosakkan hanya perlu sehari sahaja. Membina memerlukan muafakat yang ramai, mahu merosakkan cukuplah seorang sahaja,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan tablet PerantiSiswa kepada 93 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Razak (SMTAR) dan SMK Khir Johari di SMTAR, Selekoh di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan ada penyandang kerusi BN yang digugurkan tidak membantu kempen calon yang menggantikannya dan ada yang membuat kenyataan mempertikai penggugurannya dalam PRU15.

Annuar yang menjadi wakil rakyat bermula dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen sejak 1986, adalah antara beberapa nama besar yang digugurkan oleh BN dalam PRU15 ini.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin dicalonkan di Parlimen Ketereh bagi menggantikan Annuar yang menyandang kerusi itu sejak 1995.

Menurut Annuar, pemimpin yang digugurkan itu mesti menjaga muafakat yang ramai dengan memberi apa sahaja sumbangan yang patut untuk memastikan kemenangan calon BN.

Sementara itu, beliau meminta pengundi Ketereh mengundi Marzuani Ardila jika ada rasa simpati terhadap penggugurannya, bukan mengundi calon lawan.

Malam tadi, calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Ketereh, Khlir Mohd Nor dilaporkan meminta pengundi BN yang sayangkan Annuar Musa supaya mengundinya dan sebagai isyarat BN membuat kesilapan tidak mencalonkan semula Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu.

Beliau dilaporkan berkata sudah berjumpa dengan 80,000 pengundi di Parlimen Ketereh yang didapati masih menyayangi Annuar.

Annuar menyifatkan ia sebagai kaedah parti lawan berkempen bagi meraih undi semata-mata.

“Setiap orang berkempen ada cara masing-masing, jadi jika bersimpati dengan saya, undi orang bukan parti (BN), tidak kenalah.

“Jika bersimpati dan sayang dengan saya, kena sambung legasi saya, cara saya bekerja, saya tahu saya dekat dengan rakyat, masa tsunami politik sebelum ini pun saya menang dengan majoriti yang selesa, hampir 5,000 undi. Konsep politik saya di Ketereh itu tidak ikut parti sangat, kita bantu dan bekerja untuk semua,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya