Pembuangan efluen melebihi had, kilang elektronik didenda RM30,000 - Utusan Malaysia

Pembuangan efluen melebihi had, kilang elektronik didenda RM30,000

PEGAWAI JAS Pulau Pinang mengambil sampel air dipercayai mengandungi pepejal terampai dan aluminium yang dilepaskan sebuah kilang elektronik yang didakwa mencemari alam sekitar di Butterworth, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Sebuah kilang elektronik terkemuka didenda RM30,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melakukan pembuangan efluen perindustrian melebihi had yang dibenarkan.

Kesalahan itu dilakukan di bawah Peraturan 11(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke dalam perairan pendalaman.

Terdahulu, Hakim Noor Aini Yusof menjatuhkan hukuman tersebut selepas wakil syarikat berkenaan mengaku bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah di sini.

Ketika pertuduhan dibacakan, syarikat terbabit diwakili Pengurus Fasilitinya yang hadir bersama peguam, Peter Huang dari firma guaman, Peter Huang & Richard.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pelepasan efluen yang mengandungi bahan pencemar melebihi had yang ditetapkan telah mencemarkan perairan dan berpotensi menjejaskan kesihatan awam.

Katanya, dalam kes itu, premis berkenaan didapati melepaskan pepejal terampai (suspended solid) sebanyak 200 miligram per liter (mg/L) iaitu melebihi had yang ditetapkan (100mg/L).

Selain itu, ujar Sharifah Zakiah, mereka turut melepaskan aluminimum sebanyak 39 mg/L berbanding had yang ditetapkan iaitu hanya sebanyak 15 mg/L.

“Denda maksimum bagi kesalahan ini adalah tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya