Pembinaan PR1MA Rantau siap Mac tahun depan - Utusan Malaysia

Pembinaan PR1MA Rantau siap Mac tahun depan

PROJEK perumahan PR1MA Residensi Rantau, di Bandar Ekar Rantau di Seremban dijangka siap sepenuhnya pada bulan Mac 2023.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Projek perumahan PR1MA Rantau yang terletak di Bandar Ekar, Rantau di sini yang menghadapi isu lewat siap sejak 2019 dijangka selesai pembinaannya pada bulan Mac 2023.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hasil laporan dan makluman yang diberikan oleh pihak pemaju dan kontraktor, kemajuan keseluruhan projek berkenaan kini sudah mencecah 80.96 peratus.

Jelas beliau, perkembangan terkini tersebut tentunya melegakan pembeli projek perumahan itu yang berdepan pelbagai kesusahan selepas ia gagal disiapkan pada tarikh yang sepatutnya.

“Saya yakin, sekarang ini kemajuan sudah 80.96 peratus, apa yang disebut oleh pihak konsultan yang mewakili PR1MA dan kontraktor, sedang buat jalan, tangki air juga sudah siap. Kemajuan itu termasuk infrastruktur, saya yakin rumah ini pada bulan Mac atau bulan April (2023) akan siap,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis pertemuan dengan pembeli projek perumahan PR1MA Residensi Rantau dekat Rantau, di sini, hari ini.

MOHAMAD Hasan sewaktu berucap pada majlis pertemuan dengan pembeli projek perumahan PR1MA Residensi Rantau dekat Rantau di Seremban, hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Mohamad yang juga calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini berkata, projek PR1MA Rantau antara yang menjadi ‘mangsa’ ekoran pertukaran kerajaan pada pilihan raya umum yang lalu.

“Projek ini dahulunya sudah jatuh (status) projek terbengkalai, memang benar, sejak Pakatan Harapan (PH) menang pada 2018, semua projek seperti ini, semua yang ada perkataan 1Malaysia diberhentikan, saya tidak tahu atas alasan apa.

“Tetapi mereka tidak mengambil kira, dengan berbuat begitu telah menyebabkan banyak pihak terutamanya pembeli terbeban dengan harga barang yang naik, kos sara hidup yang tinggi, pinjaman perumahan kena bayar pada masa yang sama membayar sewa rumah,” katanya lagi.

Mohamad berkata, selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyemak semula projek berkenaan, pandemik Covid-19 pula melanda yang mengakibatkan pembinaannya tertangguh sekali lagi.

“Bagi pembeli ia sudah seperti jatuh ditimpa tangga, projek pembinaan diberhentikan, lebih dua tahun ia tergendala,” katanya.

Projek PR1MA Residensi Rantau di Bandar Ekar, Rantau ini telah dimulakan pada 2017 dan sepatutnya selesai pada Januari 2019. Ia membabitkan pembinaan 776 unit rumah iaitu 210 rumah satu setengah tingkat dan 566 adalah rumah dua tingkat.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya