Pembaharuan pendidikan lebih pantas dengan Edufluencers

Pembaharuan pendidikan lebih pantas dengan Edufluencers

KEWUJUDAN program pempengaruh pendidikan atau Edufluencers membantu PAK-21 berkembang lebih pantas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembaharuan sistem pendidikan negara dalam konteks Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21) kini dapat berkembang lebih pantas dengan kewujudan program pempengaruh pendidikan atau Edufluencers.

Edufluencers terdiri daripada sekumpulan guru yang dicari melalui pertandingan bagi menunjukkan amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam sistem PAK21 di bilik darjah sebagai satu kaedah terbaik.

Seramai 181 guru diiktiraf Unit Penyampaian dan Prestasi Pendidikan (PADU) diberikan ruang dan peluang untuk berkongsi kaedah terbaik, idea baharu, pandangan serta semangat dan aura mereka dengan rakan guru yang lain serta pengikut mereka.

Meskipun golongan Edufluencers bukanlah duta jenama yang dibayar, mereka terdiri dalam kumpulan guru yang hebat untuk mempengaruhi pengikut mereka dalam usaha memajukan sistem pendidikan negara.

Ketua Jabatan PADU, Radzifuddin Nordin berkata, semua guru adalah pemboleh utama kepada inisiatif transformasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025 (PPPM).

Beliau berkata, pengiktirafan golongan guru sebagai pempengaruh atau Edufluencers itu selari dengan apa yang dinyatakan dalam Anjakan 4 PPPM iaitu untuk memartabatkan profesion keguruan supaya menjadi profesion pilihan.

Katanya, pengiktirafan golongan itu juga adalah sebagai usaha pembangunan budaya kecemerlangan dan proses pensijilan yang diterajui rakan sebaya menjelang 2025.

“Melalui pelaksanaan inisiatif di bawah PPPM, kami berharap semua guru Kementerian Pendidikan dapat membangunkan keupayaan bertaraf dunia yang diperlukan untuk memudahkan pencapaian murid yang diingini dan pada masa yang sama mereka mendapat lebih keseronokan serta kepuasan dalam menjalankan tugas mereka.

“Kami di PADU mengharapkan bahawa komuniti Edufluencers ini bergerak cemerlang dalam menyebarkan aura dan semangat positif kepada rakan guru yang lain sama ada dalam atau luar negara serta masyarakat.

“Komuniti Edufluencers ini juga diharap dapat berkembang demi memartabatkan profesion keguruan dalam pembangunan modal insan,” katanya.

Terdahulu, PADU berperanan utama memudah cara, menyokong, dan merealisasikan visi Kementerian Pendidikan untuk mentransformasikan sistem pendidikan melalui kejayaan pelaksanaan PPPM 2013-2025.

PADU juga bekerjasama dengan kementerian untuk membangunkan pelan tindakan pemulihan bagi memastikan penambahbaikan berterusan terhadap kualiti sistem pendidikan di Malaysia.

Unit itu memastikan keberkesanan penyampaian strategi, mengawal selia pelaksanaan, mengurus saling bergantungan, dan memperkenalkan pendekatan baharu yang bertujuan mendorong sistem pendidikan menjadi lebih berdaya saing pada peringkat global.

Sementara itu, seorang Edufluencers dari SMK Damansara Damai 1, S.R. Vinothan berkata, objektif utama melibatkan diri dalam program ini kerana beliau suka membuat pembaharuan dalam bilik darjah dengan mengetengahkan pendekatan dan teknik mengajar baharu yang lebih berkesan untuk membantu murid-murid yang lemah.

Beliau berkata, dengan adanya komuniti ini, golongan guru dapat berkongsi pembaharuan dan pelbagai teknik menarik dalam bilik darjah, seterusnya diperluas untuk membantu rakan-rakan guru di peringkat daerah dan negeri masing-masing.

“Kalau lihat sejak 2019 dan apabila kita menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan pada 2020, komuniti ini bergerak melalui saluran media sosial untuk berkongsi teknik (PdP) dalam tempoh mencabar itu, jadi ini membuka ruang kepada guru (yang mungkin tidak tahu).

“Malah dalam komuniti ini, terutama Edufluencers 1.0, rakan-rakan komuniti berjaya membawa amalan mereka sehingga ke peringkat antarabangsa serta berkongsikan ilmu dari negara lain dengan kami.

“Jadi, kami dokumenkan semua perkara ini supaya hasil (amalan dan kaedah) boleh dikongsikan kepada guru-guru seluruh negara dan ini kita kongsikan melalui portal pembelajaran yang ada seperti portal DELIMa KPM,” katanya.

Seorang Edufluencers dari SK Dato Laksamana Raja Mahkota, Annetta Zaity Zainal pula berpandangan, komuniti Edufluencers membuka mata semua pihak bahawa negara masih memiliki golongan pendidik yang berilmiah dan berbakat.

Malah, katanya, apa yang lebih mengagumkan adalah guru-guru sanggup menghabiskan wang sendiri untuk kemajuan pendidikan sekali gus membantu negara.

“Secara asasnya memang mahu meningkatkan pencapaian diri sendiri, tetapi secara tidak langsung kami di Edufluencers ini dapat menaikkan martabat perguruan.

“Sebab apabila kami berkumpul di PADU, kita lihat guru-guru muda dan tak sangka (mereka hebat) serta kebanyakan ada banyak idea untuk diketengahkan, malah kita rasa ini lah perguruan yang sebenar dan mampu menaikkan pendidikan negara.

“Jadi, di komuniti ini kita boleh lihat usaha warga pendidik itu tidak kenal erti penat lelah, sebab apa pun yang dibuat adalah demi anak murid.

Bagaimanapun, Anetta Zaity yang lebih berpengaruh di aplikasi Tik Tok itu berkata, program Edufluencers diharapkan berterusan dengan lebih banyak kumpulan bagi membolehkan guru-guru saling bertukar ilmu pengetahuan.

“Sebenarnya sedih kalau komuniti ini berhenti setakat sini atau habis berkubur begitu saja, kalau boleh dikembangkan lagi dan dapat jadi model atau contoh kepada guru-guru baharu,” ujarnya.

Dalam pada itu, guru Sains dan Biologi dari SMK (L) Methodist Sentul, Stephen Isaac berkata, program ini membolehkan guru-guru bertukar pendapat tentang isu berkaitan pendidikan dan pengalaman mereka sebagai seorang warga pendidik.

“Sebagai seorang Edufluencer, kami digalakkan untuk sentiasa membuat perkongsian amalan terbaik dalam PdP, inovasi dan juga aktiviti yang dilakukan bersama-sama anak-anak murid saya.

“Segala perkongsian saya biasanya saya lakukan sama ada secara fizikal atau di ruang maya melalui webinar dan sebagainya, selain platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya