Peluang sama rata tiga gabungan di Kedah

Peluang sama rata tiga gabungan di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUN Dr. Mahathir Mohamad diramal terus mencipta kemenangan di Parlimen Langkawi walaupun bertanding sebagai calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan berdepan saingan lima penjuru daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) serta seorang calon bebas.

Negarawan berusia 97 tahun yang juga calon tertua Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) itu dilihat tidak berdepan masalah untuk kekal sebagai Ahli Parlimen apabila dua pesaing utamanya iaitu Datuk Armishah Siraj (BN) dan Datuk Suhaimi Abdullah (PN) dikatakan tidak mendapat ‘restu’ 100 peratus ahli kedua-dua parti mereka selain faktor muka baharu.

Bagaimanapun anak beliau, Datuk Seri Mukhriz berdepan saingan sengit di Parlimen Jerlun setelah sekali lagi akan bertembung lawan sama seperti PRU14 termasuk tambahan seorang calon PH.

Mengulas perkara itu, Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, beliau melihat pertembungan di Kedah lebih kepada faktor personaliti calon dan parti di sesuatu kawasan.

“Dalam konteks itu, kalau ada pengaruh personaliti yang agak dominan, jadi peluangnya untuk menang adalah tinggi. Saya ambil contoh Dr. Mahathir di Langkawi, figura yang sangat terkenal dan masih dihormati dan kalau beliau bertanding bebas sekali pun saya tidak terkejut Dr. Mahathir akan terus menang.

“Tetapi kalau kita melihat di Kedah ini secara keseluruhannya, BN, PN dan PH sama-sama kuat dan tidak kurang juga Gerakan Tanah Air (GTA) atau Pejuang yang menyebabkan rakyat kedah mungkin keliru siapa mereka nak pilih.

“Nilai romanticism pemimpin akan memainkan pera­nan dalam hal ini seperti yang terjadi di Pokok Sena pada PRU14, apabila Datuk Mahfuz Omar terus kekal menang kerana dikatakan ada pengundi Pas memberi undi kepadanya atas dasar persahabatan ketika sama-sama berjuang dalam parti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Namun Mohd. Azizuddin berkata, isu-isu nasional tidak dapat lari mempengaruhi corak pengundian di kawasan bandar dan pinggir bandar walaupun isu tempatan dipercayai akan mendominasi sentimen pe­ngundi.

Sementara itu, BN yang menampilkan tujuh calon muka baharu termasuk empat calon wanita pula berpeluang menambah bilangan kerusi kepada tiga berbanding dua yang dimenangi Datuk Seri Mahdzir Khalid di Padang Terap dan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim di Baling.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang pernah menyandang kerusi Parlimen Jerai dilihat berpeluang merampas semula kawasan itu daripada PN yang sekali lagi diwakili Sabri Azit selepas beliau tewas dengan 539 undi.

Pendatang baharu BN di Kubang Pasu, Datuk Hasmuni Hassan yang juga Setiausaha Pemuda UMNO pula diramal menghadapi saingan sengit setelah berdepan dua ‘orang lama’ iaitu Datuk Ku Abd. Rahman Ku Ismail (PN) dan Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang).

Sementara itu, PN berkeyakinan boleh merampas Parlimen Pokok Sena yang menjadi kubu kuat Mahfuz selepas membariskan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah setelah percubaan daripada bekas pemain bola sepak kebangsaan, Radhi Mat Din tidak berhasil sebelum ini.

PN yang terus mencalonkan penyandang daripada Pas, Ahmad Tarmizi Sulaiman di Parlimen Sik juga tidak sukar untuk mempertahan kawasan itu apabila berdepan dua calon wanita daripada BN dan PH dalam saingan tiga penjuru.

Namun, kerusi Parlimen Pendang yang dimenangi Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim pada PRU14 diletakkan dalam kategori sengit yang menyaksikan ‘perebutan’ antara PN dan BN selain calon PH, Datuk Zulkefli Mohamad yang turut terkenal dalam kalangan rakyat di situ.

Atas kertas, PN diyakini mampu memberi kemenangan di Parlimen Alor Setar menerusi calonnya, Afnan Hamimi Taib Azamudden di kerusi yang memiliki 64 peratus majoriti pengundi Melayu itu walaupun menghadapi saingan tujuh penjuru.

Dalam pada itu, Parlimen Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani dan Kulim Bandar Baharu diramal terus kekal sebagai ‘deposit tetap’ PH berbanding kerusi Padang Serai yang menyaksikan pertembungan sengit dengan BN.

Empat daripada lima kerusi tersebut terus mencalonkan penyandang masing-masing kecuali Parlimen Sungai Petani yang menyaksikan muka baharu, Mohamed Taufiq Johari bakal menyambung legasi bapanya, Datuk Johari Abdul.

Kehadiran bekas Ketua Pemuda MIC, Datuk C. Sivarraajh di Padang Serai dijangka mampu menggoyahkan PH di kerusi itu apatah lagi beliau pernah menang di Cameron Highlands sebelum ini, namun faktor M. Karupaiya sebagai wakil rakyat ‘disenangi’ mungkin menyaksikan PH terus mengekalkan penguasaan.

Penyertaan lima wakil Warisan, seorang calon Parti Rakyat Malaysia, empat daripada bebas dan calon-calon lain daripada Pejuang pula dikatakan tidak lebih daripada hanya akan menyebabkan perpecahan undi berlaku terutama dalam kalangan pengundi Melayu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya