Pelantikan Anwar sebagai PM beri kelegaan kepada rakyat - Utusan Malaysia

Pelantikan Anwar sebagai PM beri kelegaan kepada rakyat

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 mengakhiri ‘teka-teki’ siapa yang bakal mengetuai kerajaan selain memberikan sedikit kelegaan buat sebahagian besar rakyat Malaysia.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, walaupun hasrat melihat tertubuhnya sebuah kerajaan perpaduan masih belum terlaksana setakat ini, namun pemberian mandat kepada Anwar untuk mengetuai pembentukan kerajaan dianggap sebagai perkembangan positif.

Kon Yeow yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan turut percaya pelantikan bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk menerajui kerajaan akan disambut baik semua pihak selepas lima hari negara berdepan situasi Parlimen tergantung selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Saya yakin Datuk Seri Anwar (Ibrahim) ada rancangannya untuk memantapkan sebuah pentadbiran (kerajaan) dan menggembleng sokongan daripada seluruh rakyat (untuk menyokong beliau),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar yang memenangi kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 diumumkan sebagai Perdana Menteri ke-10 oleh Istana Negara menerusi kenyataan selepas selesai Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu, hari ini.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia menjalin kerjasama sebagai satu pasukan dengan barisan Kabinet baharu yang bakal diterajui oleh Presiden PKR itu.

“Kerjasama itu penting untuk pastikan Pulau Pinang terus maju pada masa hadapan. Selain itu, kerjasama itu juga bertujuan membuka satu lembaran baharu untuk kerajaan Malaysia,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya