SEGAMAT: Beberapa pekerja terkejut dan tergamam apabila menjumpai dua butir bom lama di Ladang Kelapa Sawit Felcra Tebing Tinggi, di sini semalam.
Salah seorang pekerja tersebut yang tidak mahu dikenali berkata, ketika kejadian, dia dan beberapa rakannya membersihkan kawasan di sekitar ladang kelapa sawit itu.
“Saya menebas semak samun di kawasan sekitar ladang ini seperti biasa. Tiada apa-apa yang pelik berlaku.
“Setibanya di kawasan tersebut, saya terpandang sebutir besi karat berbentuk bujur. Mula-mula saya rasa nak sentuh tetapi terdetik dalam hati mungkin ini bom lama. Dengan hati yang berdebar-debar, saya segera berundur dan menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Unit Pemusnahan Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan UPB IPD Segamat menjalankan tindakan pemusnahan ke atas bom tersebut menggunakan teknik high order menerusi kaedah elektrik.
Polis Johor menasihati orang ramai melaporkan segera ke mana-mana balai polis berhampiran sekiranya menjumpai objek yang mencurigakan, termasuk bom.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengusik, mengalihkan atau menggerakkan objek tersebut bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. – UTUSAN