Pegawai bank dipenjara 10 tahun perdagangkan isteri

Pegawai bank dipenjara 10 tahun perdagangkan isteri untuk aktiviti seks

SEORANG lelaki dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban pada 21 November lalu atas pertuduhan memperdagangkan isterinya untuk tujuan eksploitasi seks.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pegawai bank dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memperdagangkan isterinya bagi tujuan eksploitasi seks pada Oktober lalu.

Hakim, Datin Surita Budin membuat keputusan itu selepas tertuduh seorang lelaki berusia 35 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memperdagangkan seorang wanita berusia 35 tahun iaitu isterinya yang bukan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi seks. 

Kesalahan itu dilakukan di sebuah hotel di Kuala Pilah pada 30 Oktober lalu. 

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Berdasarkan fakta kes, pihak polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah telah menangkap tertuduh yang disyaki menjadi ejen serta ‘transporter’ dalam menguruskan aktiviti pemerdagangan manusia dengan tujuan mengeksploitasi seks ke atas mangsa.

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati tertuduh merupakan suami yang sah kepada mangsa telah memperdagangkan mangsa bagi tujuan eksploitasi seks sejak bulan Julai 2022 bagi tujuan menyelesaikan hutang yang ditanggung.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan atas alasan telah insaf dan sedang menjalani hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan atas kesalahan di bawah Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan iaitu hidup atas wang hasil daripada persundalan isterinya.

“Saya memohon hukuman penjara berjalan serentak dan hukuman yang sama iaitu tujuh tahun penjara, kalau mahkamah putuskan (hukuman penjara) lebih daripada itu saya mohon digantikan dengan sebatan.

“Saya juga mohon isteri dapat dikeluarkan daripada pusat perlindungan supaya keluarga dapat aturkan dia pulang ke Sabah dan sebelum itu melawat saya,” katanya.

Tertuduh turut memohon kepada mahkamah  tiga barang rampasan iaitu kunci rumah, kunci kereta dan telefon bimbit diserahkan semula.

“Kami tinggal di rumah sewa sekarang sudah sebulan saya ditahan, bayaran sewa tertunggak rumah perlu dikosongkan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi pula memaklumkan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan tidak bermoral dengan mengambil kira mangsa adalah isterinya sendiri selain melanggar hak-hak asasi manusia.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bermula dari tarikh tangkap dan memaklumkan di bawah peruntukan undang-undang di bawah kesalahan memperdagangkan manusia tiada hukuman sebatan.

Pada 21 November lalu, media melaporkan tertuduh sama dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan hidup atas wang hasil daripada persundalan isterinya pada Oktober lalu. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya