PBAPP laksana pelarasan tarif air baharu mulai 1 Januari depan - Utusan Malaysia

PBAPP laksana pelarasan tarif air baharu mulai 1 Januari depan

PBAPP akan melaksanakan pelarasan tarif air baharu yang telah diwartakan bagi kategori bukan domestik dan khas mulai 1 Januari tahun depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) akan melaksanakan pelarasan tarif air baharu yang telah diwartakan bagi kategori bukan domestik dan khas mulai 1 Januari tahun depan.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan berkata, pelarasan tarif itu tidak akan melibatkan pengguna air domestik (kecuali meter pukal domestik) di negeri itu.

”Selain tarif bukan domestik, pelarasan tarif juga melibatkan kategori khas seperti rumah ibadat atau kebajikan, premis kerajaan, institusi pengajian tinggi dan perkapalan.

”Oleh itu, pengguna kategori ini dijangka mengalami perubahan dalam bil air bulanan mereka bergantung kepada penggunaan air bulanan masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mewartakan pelarasan tarif air bukan domestik serta kategori khas di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 1 Ogos 2022.

”Pelarasan ini dilakukan berdasarkan Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) iaitu mekanisme penetapan tarif yang sistematik, adil dan telus bagi memastikan industri perkhidmatan air negara mencapai kemapanan jangka masa panjang.

”Dana tambahan yang diperoleh akan dilabur semula untuk perbelanjaan modal (Capex) terutamanya untuk projek Pelan Kontingensi Air Mentah 2030 (RWCP 2030) PBAPP,” katanya.

Tambah beliau, sebagai satu-satunya operator bekalan air bagi Pulau Pinang, pelarasan tarif itu amat penting bagi PBAPP agar penaiktarafan infrastruktur bekalan air dapat dilaksanakan serta dapat memenuhi permintaan bekalan air pengguna secara mapan.

”Kami menasihati pengguna untuk menggunakan sumber berharga ini dengan bijak.

”Pengguna juga dinasihatkan memasang peranti penjimatan air (WSD) di premis mereka bagi mengurangkan penggunaan air dan memastikan kelestarian,” katanya.

Tambah beliau, bagi mengurangkan penggunaan air juga, perniagaan dan organisasi digalakkan mengambil bahagian secara aktif dalam program Pensijilan Aqua Save melalui laman web Penang Green Council di www.pgc.com.my. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya