Pasar Tamu Dayak di Seremban himpun produk Sabah, Sarawak - Utusan Malaysia

Pasar Tamu Dayak di Seremban himpun produk Sabah, Sarawak

PADILA Jiahong (dua dari kiri) bersama peniaga Pasar Tamu Dayak Seremban di Jalan Seri Rahang, Seremban. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Semuanya bermula ketika negara dilanda pandemik Covid-19 yang mendorong golongan suri rumah berasal dari Sarawak dan Sabah yang menetap di bandar ini menjalankan perniagaan secara ke­cil-kecilan dari rumah.

Presiden Raban Indu Borneo Seremban, Padila Jiahong, 39, berkata, sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar dengan produk jualan se­perti makanan tradisi Sabah dan Sarawak itu kemudian memberi idea kepada seramai 22 orang suri rumah terbabit membuka kawasan pasar.

Katanya, dikenali sebagai Pasar Tamu Dayak Seremban, ia dibuka sejak 28 Ogos lalu dan beroperasi di Jalan Seri Rahang di sini pada setiap pagi Ahad.

“Ketika pandemik Covid-19, ramai rakan dari Sabah dan Sarawak terutama golongan suri rumah mengalami masalah kewangan kerana kebanyakan suami mereka bekerja di kawasan perindustrian di Se­nawang.

“Selepas itu, mereka mula berniaga secara kecil-kecilan dari rumah dan mendapat sambutan penduduk sekitar Seremban.

“Kemudian, saya mengadakan perbincangan bersama pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan mereka bersetuju untuk memberi peluang kepada kami berniaga pada setiap pagi Ahad di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurutnya, Pasar Tamu Dayak itu menjual makanan tradisi Sabah dan Sarawak se­perti ayam pansuh, mi kolok, laksa Sarawak dan kek lapis.

“Terdapat makanan tradisi yang menjadi kegemaran ramai yang hanya boleh didapati di Sabah dan Sarawak, namun, orang ramai boleh mendapatkannya di sini.

“Kebanyakan makanan ini dimasak sendiri dan barangan tradisional pula didatangkan dari Sabah dan Sarawak. Harga yang ditawarkan juga agak berpatutan,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga, Maria, 43, yang berasal dari Sibu, Sarawak berkata, dia mula menjalankan perniagaan dari rumah dan kemudiannya menerima sambutan mengga­lakkan daripada pelanggan di sekitar kawasan Seremban Jaya.

“Saya menjual pelbagai makanan seperti, pansuh manok, pansuh ikan baung, salai baung, salai ikan sembilang dan salai ikan jelawat.

“Selain berniaga di sini, saya juga ada membuat perkhidmatan penghantaran produk jualan dari rumah ke rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya