PASIR PUTEH: Pas menolak sekeras-kerasnya bentuk kempen secara kotor dan melampau yang boleh mencetuskan ketegangan ketika baki kempen tinggal sehari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) termasuk kejadian membakar poster wajah calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Kedah, Datuk Mashitah Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, tindakan tersebut dilihat tidak baik untuk arena politik negara dan rakyat sudah bijak membuat penilaian berhubung isu tersebut.
“Pada saya berkempenlah secara profesional. Jika ada yang menuduh orang Pas berbuat demikian, saya menafikan perkara tersebut.
“Pas tidak pernah mendidik ahli dan penyokong untuk bertindak sedemikian atau di luar kawalan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian bantuan Program Transformasi Sosio Ekonomi Keluarga Malaysia Bagi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Jajahan Pasir Puteh di sini hari ini.
Bantuan tersebut yang disampaikan Pengerusi KADA, Datuk Kamarudin Md. Nor kepada seramai 219 penerima peruntukan Kerajaan Persekutuan itu bernilai RM330,000 membabitkan ternakan lembu, kambing dan biri-biri berjumlah RM140,000, tanaman sayur dan ternakan unggas masing-masing berjumlah RM95,000 dan RM58,000, ternakan arnab dan cendawan pula ia melibatkan bantuan sebanyak RM20,000 dan ternakan ikan air tawar berjumlah RM16,500.
Nik Muhammad Zawawi memberitahu, Pas menyerahkan kepada kebijaksanaan polis untuk membuat siasatan dan mengesan individu yang melakukan provokasi tersebut.
Katanya, tindakan itu bagi memastikan pelaku dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Akhbar semalam melaporkan polis menyiasat perbuatan membakar poster Perdana Menteri di Kampung Gelung Ayer di Gunung Keriang yang dipercayai angkara khianat.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima aduan daripada salah seorang petugas BN yang kebetulan melalui kawasan itu pada pukul 3 petang semalam. – UTUSAN