Pas seru semua pihak hormati keputusan pengundi - Utusan Malaysia

Pas seru semua pihak hormati keputusan pengundi

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pas menyeru semua pihak menghormati keputusan pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab untuk memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berlangsung secara harmoni.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Malaysia kini sedang melalui fasa penting pembentukan kerajaan melalui proses Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

“Justeru Pas menyeru semua pihak untuk menjunjung keluhuran Perlembagaan, menghormati keutuhan undang-undang dan memelihara ketenteraman awam, serta menghalang sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat keharmonian dalam negara.

“Pas menegaskan untuk memelihara kestabilan politik dan ekonomi dalam negara dan seterusnya memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya ‘tidak menangguk di air yang keruh dan jangan sesekali dijolok sarang tebuan’, demi menjaga kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketika ini, beberapa blok parti politik masih mengadakan rundingan untuk bergabung bagi membolehkan pembentukan kerajaan dibuat dalam masa terdekat.

Pada PRU15, Pakatan Harapan (PH) menang di 82 kerusi Parlimen, diikuti Perikatan Nasional (PN), 73 kerusi dan Barisan Nasional (BN) 30 kerusi.

Parti-Parti lain, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 23 kerusi; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi; Parti Warisan Sabah (Warisan) tiga kerusi; Parti Bangsa Malaysia (PBM) satu kerusi; Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) satu kerusi dan Bebas dua kerusi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya