MELAKA: Pas sanggup menjadi pembangkang sekiranya Perikatan Nasional (PN) tidak mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu kekal dengan prinsip tidak menjalin kerjasama dengan kerajaan yang tidak bersih.
Jelas beliau, Pas berpegang teguh kepada prinsip dan tidak akan sesekali mengubah pendiriannya.
“Kita sanggup jadi pembangkang. Pas sudah berpuluh-puluh tahun jadi pembangkang, tidak ada masalah.
“Kita tidak mahu kerajaan yang tidak bersih. Pendirian Pas masih sama, kita berprinsip dan bukan ‘parti hanyut’,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Santai Petang Bersama Presiden Pas di Taman Desa Cheng Perdana di sini hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan parti itu akan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) selepas PRU15, seperti mana didakwa Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Ketika ditemui selepas ceramah di Ketereh, Kota Bharu, Kelantan, Takiyuddin dilaporkan tidak menolak kemungkinan PN akan membentuk kerajaan dengan BN sekiranya mereka gagal membentuk kerajaan secara bersendirian.
Dalam pada itu, mengenai kenyataan dibuat Takiyuddin, Abdul Hadi berkata, ia dipercayai merujuk kepada situasi sebelum pembubaran Parlimen.
“Kita tunggu Perhimpunan Agung UMNO untuk UMNO buat perubahan, ubah pemimpin mereka. Malangnya tidak boleh buat, itu yang jadi masalah.
“Jadi kenyataan itu berkisar kepada situasi sebelum pilihan raya. Pada pilihan raya ini banyak pemimpin yang tidak sebulu digugurkan seperti Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Tan Sri Noh Omar,” ujarnya. – UTUSAN