KOTA BHARU: Pas merakamkan ucapan takziah buat ahli keluarga kepada calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang yang meninggal dunia awal pagi tadi.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagaimanapun memaklumkan bahawa pilihan raya perlu diadakan semula di kawasan itu sebagaimana peraturan yang ada.
“Situasi ini sama dengan apa yang berlaku di Parlimen Padang Serai (Kedah),” katanya kepada pemberita selepas mengundi di Maktab Sultan Ismail (SIC) di sini hari ini bersama isteri, Datin Seri Hariza Yusoff.
Menurut laporan, calon terbabit, Md. Yunus Ramli meninggal dunia pada pukul 3.30 pagi ini akibat komplikasi jantung.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, pihaknya berharap cuaca cerah dan baik akan berterusan sehingga waktu petang bagi membolehkan orang ramai dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing tanpa sebarang masalah.
Terdahulu, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli tiba seawal pukul 7.48 pagi untuk mengundi dan selesai menunaikan tanggungjawab itu pada pukul 8.10 pagi.
Takiyuddin berdepan saingan daripada Datuk Seri Rosmadi Ismail (Barisan Nasional), Dr. Hafidzah Mustaqim (Pakatan Harapan), Prof. Datuk Dr. Che Musa Che Omar (GTA), Andy Tan (PRM) dan Bebas, Izat Bukhari Ismail Bukhari. PRU14 lalu, Takiyuddin menang dengan majoriti 5,869 undi menewaskan BN dan PKR. – UTUSAN