KOTA BHARU: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan parti itu pernah menolak kerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) disebabkan oleh DAP.
Abdul Hadi berkata, pertemuan berlaku selepas negarawan ulung itu tidak berpuas hati dengan perkembangan mutakhir BN sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurutnya, ketika itu Dr. Mahathir mahu satu perubahan dilakukan dan pandangan tersebut sama dengan pendirian Pas.
“Tetapi disebabkan oleh perkara teknikal, kita berbeza pendapat. Maka dari situlah kita (Pas) terpaksa membuat penubuhan kerajaan mengikut acuan sendiri.
“Saya bertemu dengan beliau atas dasar veteran politik. Kita menolak kerajaan perpaduan Pakatan Harapan (PH) yang melibatkan DAP dan kita tidak bersetuju,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Tuan Guru Presiden Pas ‘Jupo Oghe Terey’ di Pasar Peringat, di sini hari ini.
Calon Parlimen Marang itu memberitahu, hal ini kerana melalui kerjasama itu DAP masih lagi dominan dalam kerajaan.
Katanya, kerjasama tersebut tanpa melibatkan BN.
Utusan Online 1 April lalu melaporkan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas pula mengesahkan akan bertemu dengan Dr. Mahathir.
Pertemuan itu akan diatur tidak lama lagi bagi berunding dan membentuk kerjasama demi perpaduan ummah. – UTUSAN