PETALING JAYA: Ekonomi negara dijangka terus terjejas jika Kerajaan Persekutuan tidak dibentuk dengan segera.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, kesan itu dilihat menerusi kejatuhan nilai ringgit dan pasaran saham yang merudum ketika ini.
Namun katanya, ia bersifat jangka pendek jika kerajaan dapat dibentuk segera.
“Apabila kerajaan tidak dapat ditubuhkan, ini menyebabkan keresahan semua pihak.
“Ini pernah berlaku kepada Belgium apabila Parlimen tergantung sehingga dua tahun dan menjadi kerajaan minoriti, pasaran saham menurun kerana mengambil kira sentimen ketika itu,” katanya.
Beliau bimbang kelewatan penubuhan kerajaan memberi kesan kepada Bajet 2023.
“Bajet 2023 tidak dapat berfungsi ketika ini kerana belum diluluskan di Parlimen dan perlu dibentangkan semula. Wujud kerisauan kerajaan tidak cukup masa bentang sebelum akhir tahun ini supaya semua peruntukan dapat dilaksanakan tahun depan,” katanya.
Nilai ringgit dan pasaran saham merudum sejak Sabtu lalu, apabila keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada satu parti yang meraih majoriti mudah untuk melantik Perdana Menteri dan membentuk Kerajaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff tidak menjangkakan impak yang ketara kepada ekonomi dalam jangka masa pendek kerana PRU15 diadakan secara demokrasi dan matang.
“Oleh itu kejatuhan nilai ringgit lebih dipengaruhi oleh faktor luaran terutama di Amerika Syarikat. Begitu juga dengan pasaran saham yang mungkin impaknya sedikit bercampur-campur tetapi stabil pada penghujung minggu ini,” katanya. – UTUSAN