UNTUK bikin konsert solo berskala besar di Malaysia bukan mudah, terutama untuk artis tempatan. Pertama, rakyat Malaysia sudah lama anggap produk tempatan kurang kualiti berbanding barang import. Sudah lama kita gelar barang kurang kualiti atau tiruan sebagai barang local, tidak kira barang itu betul-betul buatan tempatan atau tidak. Ini menyebabkan rakyat tempatan susah nak belanja jumlah wang yang besar untuk konsert artis tempatan. Kalau artis luar datang, mereka lebih sanggup nak belanja ratus-ratus ringgit. Kedua, budaya konsert berbayar tidak mekar di Malaysia. Budaya kita konsert percuma, heboh-heboh dengan pelbagai artis dalam satu malam. Sebab itu, tidak ramai artis tempatan mampu bikin konsert solo berskala besar. Kalau ada pun, sudah lebih 20 tahun bina nama dan punya nilai eksklusif, dengan pengecualian buat beberapa nama baharu.
KALIS LEKEH
Ketika Hujan umumkan penganjuran konsert Rumah Kita, saya fikir ia normal. Hujan sudah layak untuk bikin konsert. Tapi dalam media sosial, ada yang memperlekeh keupayaan kugiran ini. Ada yang gelak apabila tiket konsert itu seperti tidak terjual. Yang bagusnya, Hujan sudah sampai tahap kalis lekeh. Yang memperlekeh tanpa isi ini mereka sudah tidak peduli. Jadi, aturan konsert diteruskan tanpa peduli dengan kata-kata kosong ini. Rancangan untuk menjadikan Rumah Kita sebagai konsert terbesar Hujan terus disusun. Dan ia terlaksana pada 5 November lalu.
NOH YANG SEBENAR (NYS)
Ada beberapa isu yang membelenggu penganjuran Rumah Kita. Yang paling menonjol, kontroversi melibatkan Noh. Dari merokok sehingga meludah atas pentas, ramai yang mengkritik kelakuan Noh. Saya sendiri tidak senang dengan apa yang Noh buat. Tapi pada malam 5 November, Noh kembali menjadi Noh yang ramai orang sayang. Jenakanya, senyumnya dan puluhan cium layang yang diberikan kepada penonton ketika konsert buat saya melihat Noh sebagai Noh dalam karakter aslinya. Ini Noh Hujan yang punya kecerdasan mencipta melodi yang magikal dan peribadi yang memikat. Tak sempurna, pasti, tapi ini Noh yang ramai sayang sejak dulu.
NOSTALGIA
Pilihan lagu dalam konsert ini sangat menarik. Keseluruhannya ada 32 lagu yang dipersembahkan dan ada beberapa pilihan yang menonjol. Antara tindakan bijak Hujan adalah menampilkan Aris Ariwatan dalam lagu Lamunan Terhenti versi dubstep, versi yang pernah mereka bawa dalam rancangan Versus dahulu. Vokal Aris tidak canggung langsung apabila dipasangkan dengan versi itu. Cuma, saya melihat kelibat Datuk Amy Search pada awal konsert. Agak kecewa apabila tidak ada Pawana versi Versus menampilkan Amy dipersembahkan pada malam itu. Dalam set kedua yang separa akustik, banyak lagu dari album Lonely Soldier Boy dimainkan. Saya bersorak gembira apabila Hampir didendangkan. Hampir, Aku Yang Asing, Bahagia dan Walaupun Jauh ialah bukti hidup kecerdasan ciptaan melodi pop oleh Noh. Sepatutnya gaya lagu sebegini sudah jadi formula lagu-lagu pop Malaysia sejak sedekad lalu tapi impaknya tak bertahan lama. Lagu simple sampai single bunyi jingle juga yang jadi pilihan ramai.
SANG MAESTRO
Peranan AG Coco sangat besar dalam konsert Rumah Kita. Keajaiban utama konsert ini terletak pada susunan semua lagu. Bayangkan susunan Aku Skandal versi AJL27 diaplikasikan pada kesemua lagu Hujan. Lebih kurang begitulah yang terjadi pada malam itu. Melodi yang sedia mantap oleh Noh digabungkan dengan susunan kreatif AG Coco menjadikan Rumah Kita sebagai konsert yang mega untuk Hujan. Bukan faktor lokasi acara atau kapasiti penonton, tapi susunan muzik. Itu yang paling utama. Kehadiran seksyen alat tali (strings) pimpinan Aziem Rashidi dan alat tiup (horns) pimpinan Banni Basyishar menyempurnakan persembahan Hujan pada malam itu. Tiga lagu klasik Hujan: Pagi Yang Gelap, Aku Skandal dan Bila Aku Sudah Tiada bergema penuh dalam Stadium Malawati Shah Alam. Suara semua penonton yang menyanyi bersama menaikkan bulu roma dan ia detik paling magikal buat saya pada malam itu. Seperti yang sering diulang Noh setiap kali selepas penonton menyanyi bersama, ia luar biasa.
TUGAS KITA
Ada dua benda perlu dilakukan buat mereka yang menonton konsert Rumah Kita. Jika anda pemuzik, impikan konsert dengan skala sebesar itu buat kugiran anda. Jika anda peminat, sokong kugiran kegemaran anda sepenuhnya sampai mereka mampu bikin konsert dengan skala sebesar itu atau lebih besar. Kedua, doakan umur keempat-empat anggota Hujan panjang supaya umur Hujan juga panjang. Kita mungkin dapat nikmati konsert yang lebih baik daripada Rumah Kita jika umur kugiran ini panjang.