GOMBAK: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menamatkan taklukan tiga penggal guru politiknya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen Gombak dengan majoriti 12,729 undi.
Amirudin yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) meraih 72,267 undi meninggalkan Azmin yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) yang mendapat 59,538 undi.
Mendapat gelaran Panglima Selangor, Amirudin turut meninggalkan jauh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang meraih undi 30,723.
Calon Gerakan Tanah Air (GTA), Jamaludin Mohd Tahir memperoleh 2,223 undi dan seorang calon Bebas, Zulkifli Ahmad mendapat 675 undi.
Setakat pukul 12.53 tengah malam tadi, sebanyak 165,426 undi telah dikira melibatkan 350 peti undi, berbanding 206,666 jumlah pengundi berdaftar di kerusi itu.- UTUSAN