ALOR SETAR: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Othman Aziz mendesak Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan Presiden akibat prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pada masa sama, Othman yang tewas di Parlimen Jerlun turut meletak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah kerana mengambil tanggungjawab moral ekoran kekalahan BN khususnya UMNO di negeri itu.
Menurut Othman, pengundi khususnya orang Melayu memberi petanda jelas dalam PRU15 bahawa mereka tidak menggemari gaya dan cara pemimpin UMNO mengemudi parti itu.
Katanya, atas sebab itu UMNO perlu dilepaskan kepada individu lain yang mungkin mempunyai cara dan pemikiran baharu untuk menggerakkan semula parti bagi menghadapi cabaran besar termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Kita telah mencuba sehabis baik dan menerima (kekalahan) ini sebagai penolakan mutlak orang-orang Melayu terhadap UMNO, maka sudah tentu kita merasakan perlu membentuk semula atau baik pulih kepimpinan UMNO.
“Jadi selaku Presiden, saya gesa Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berfikir secara terbuka dan berjiwa besar untuk melepaskan jawatannya,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Pada PRU15, BN Kedah tewas kesemua 14 kerusi yang ditandingi termasuk Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Dalam pada itu, Othman menasihatkan Jamil Khir agar turut berjiwa besar dengan mengundurkan diri daripada jawatannya sebagai tanggungjawab terhadap kekalahan BN di Kedah.
“Kita perlu melihat bahawa kita semua adalah bertanggungjawab dan hal jawatan lain seperti Ketua UMNO Bahagian itu lain sebab ia melalui pemilihan parti di peringkat bahagian, tapi jawatan lantikan ini saya rasa eloklah beliau mengundurkan diri.
“Ini kerana kita perlu dilihat belajar daripada kesilapan dan memberi ruang kepada orang lain untuk mengambil alih dan seterusnya melakar strategi dan perancangan yang sesuai dengan suasana dan keadaan ketika ini,” katanya.
Katanya, meskipun situasi itu diibaratkan seperti nasi sudah menjadi bubur namun UMNO perlu mengorak langkah untuk memastikan parti itu terus relevan di masa depan.
“Kelompongan jawatan yang ditinggalkan kepimpinan UMNO selepas ini diisi dengan tokoh-tokoh lain yang mampu mengemudi parti di peringkat negeri dan pusat dengan strategi yang lebih kemas. –UTUSAN