LANGKAWI: Perasaan teruja dan tanggungjawab menjadi sebab kepada anak muda berusia 18 tahun ke atas untuk keluar mengundi buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tinjauan di Maktab Mahmud Langkawi mendapati, masih belum ramai golongan itu keluar menunaikan tanggungjawab mereka dengan kebanyakan orang dewasa sahaja dilihat keluar masuk ke pusat mengundi sejak pagi ini.
Seorang pengundi berusia 18 tahun, Zarifah Zulfazli berkata, ibunya telah berpesan kepadanya untuk keluar mengundi apabila telah mencapai umur yang ditetapkan.
“Mak saya selalu berkata kalau sudah cukup umur kena keluar mengundi bagi memilih calon pemimpin yang kita rasakan layak. Jadi saya keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat dan saya pilih calon yang saya fikir paling sesuai memerintah,” katanya.
Sementara itu, bagi Irni Jasmina Ismar, 20, perasaan semangat untuk mengundi menjadikan dia keluar awal untuk mengundi.
“Saya keluar awal untuk elakkan orang ramai dan terpaksa beratur lama. Saya lihat setakat ini pada waktu pagi tidak ramai orang muda keluar mengundi lagi.
“Namun saya bersemangat hendak mengundi, tambahan pula ini adalah pertama kali jadi saya keluar awal untuk merasai sendiri pengalaman mengundi,” ujarnya.
Bagi Nurul Ezzaty Nabila Hasmi, 19, dia terkejut kerana proses mengundi begitu cepat dan tidak perlu beratur lama.
“Saya sampai sekitar pukul 9 pagi tapi proses mengundi sangat cepat tak sampai 10 minit sudah selesai semuanya.
“Disebabkan pertama kali keluar mengundi, saya minta nasihat daripada ayah sebelum membuat keputusan untuk memilih calon yang sesuai menjadi wakil rakyat yang mampu membantu rakyat,” katanya. –UTUSAN