One Path ‘pinjam’ aura Nazrey Johani - Utusan Malaysia

One Path ‘pinjam’ aura Nazrey Johani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BUKAN mudah menarik golongan muda mendekati muzik nasyid. Ditambah dengan kemunculan pelbagai genre baharu yang menjadi pilihan golongan tersebut, pastinya penggiat nasyid kontemporai berdepan laluan mencabar.
Itulah yang perlu ditempuh sekumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka One Path. Dianggotai Haseef, Ammar, Afiq dan Shafiq, One Path menjadi kumpulan baharu yang memperjuangkan dakwah menerusi wadah nasyid yang lebih moden dan terkini.
Menurut Ammar, mereka sedar perjuangan dakwah nasyid era moden ada cabaran tersendiri. Justeru, One Path perlu bijak menyusun strategi untuk mencuri hati pendengar muda.
“Misi utama kami adalah mendekatkan golongan muda kepada muzik nasyid. Puas kami kaji, bagaimana cara untuk tarik pendengar muda kepada nasyid.
“Kami maklum cita rasa orang muda yang lebih gemarkan muzik moden dan terkini. Itu yang kami tampilkan untuk tarik perhatian mereka.
“Muzik kami senang diterima dan selagi tidak melanggar syarak, rasanya tiada masalah,” katanya.
Kata Haseef, bukan mudah untuk menyampaikan lagu dakwah dibaluti elemen muzik kontemporari dan moden. Banyak perkara perlu dikaji agar lagu yang disampaikan bersesuaian dan tidak melanggar syarak.
“Menyampaikan dakwah dalam bentuk lagu memang mencabar. Apatah lagi, lagu tersebut dihasilkan mengikut citarasa pendengar sekarang.
“Apapun, kami tengok pada kesesuaian. Untuk puaskan hati orang bukan senang, tetapi kami mahu buktikan lagu nasyid moden boleh diterima semua pendengar, baik yang muda atau lebih berusia,” katanya.
TERBUKA DALAM PENAMPILAN 
One Path tidak menganggap diri mereka sebagai jelmaan One Direction atau kumpulan K-Pop, BTS. Ammar berkata, biarpun masih bertatih, mereka lebih selesa dengan identiti sendiri yang berpenampilan kasual.
“Dari segi imej, kami lebih terbuka untuk berfesyen mengikut keperluan sesuatu karya dan yang penting, kami selesa.
“Contohnya, dalam lagu nyanyian semula seperti Kuatkanlah (Orange versi dakwah). Kami bawakan imej kasual, berbeza ketika kami memperkenalkan single Zikir LoFi – Hasbunallah.
 “Paling utama bagi kami, selagi mematuhi panduan syarak dan Allah SWT reda, tidak menjadi masalah. Kami terbuka untuk mencuba sesuatu yang baharu,” jelasnya.
 
LAILA MAJNUN
One Path mungkin sudah mampu tersenyum dan memanjatkan syukur atas kejayaan lagu Laila Majnun yang dinyanyikan bersama figura legenda, Nazrey Johani.
Lagu itu menerima sambutan cukup memberangsangkan dengan jumlah tontonan di YouTube mencecah sehingga 319,000. Menurut Shafiq, mereka beruntung kerana diberi peluang bergabung dengan nama besar dalam industri nasyid seperti Nazrey.
“Alhamdulillah , kami tidak pernah menjangka untuk sampai ke tahap ini. Mungkin kejayaan lagu ini juga didorong kekuatan pada nama Nazrey.
 “Kami ‘meminjam’ aura Nazrey untuk membawakan sebuah lagu yang besar maksud dan pengajarannya,” katanya.
Mengulas lanjut, Shafiq memaklumkan, Laila Majnun mempunyai maksud tersirat yang mengingatkan manusia tentang cinta kepada Allah SWT.
“Mesej yang cuba disampaikan dalam lagu ini tersirat. Kita sedia maklum tentang kisah Qais yang tergilakan Laila.
 “Namun, apa yang cuba disampaikan adalah cinta dan kegilaan Qais itu sepatutnya untuk Allah SWT,” ujarnya.
Berkongsi pesanan dan nasihat Nazrey, Afiq memaklumkan, figura tersebut banyak menitipkan pelbagai peringatan sebagai bekalan perjuangan dakwah mereka.
“Beliau berpesan agar kami menetapkan niat iaitu menyampaikan dakwah dan mesej Islam sebagai matlamat utama.
“Katanya lagi, jika niat betul, matlamat kami tidak akan tersasar untuk menyampaikan dakwah menerusi nasyid,” jelasnya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya