BUKIT MERTAJAM: Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan Pakatan Harapan (PH) kehilangan pemimpin masa depan selepas Nurul Izzah Anwar tewas di kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Kon Yeow berkata, walaupun beliau memperoleh kemenangan besar di kerusi Parlimen Batu Kawan, namun PH tidak dapat mencapai sasaran kemenangan di Pulau Pinang.
“PH tidak dapat mencapai sasaran kali ini, seorang pemimpin kanan PH dan PKR kecundang di Permatang Pauh, ia adalah kerusi lama yang dimenangi oleh PKR dan PH, kita kecewa dari segi ini.
“Kita hilang satu kerusi dan hilang tokoh masa depan apabila kerusi Permatang Pauh tidak dapat dipertahankan,” katanya di pusat pemantauan keputusan PRU15 di sini malam ini.
Kon Yeow yang menang di Parlimen Batu Kawan memperoleh sebanyak 50,744 undi jauh mengatasi empat lawannya, Tan Lee Huat (BN) yang memperoleh 7,145 undi; Wong Chia Zhen (PN) mendapat 10,344 undi, Ong Chin Wen (Warisan) memperoleh 450 undi manakala Lee Ah Leong (PRM) memperoleh 148 undi.
Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, PH juga tidak boleh bergembira dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memandangkan sasaran PH untuk menang 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang gagal dicapai.
”Kita tidak boleh gembira di Pulau Pinang, kita tidak dapat menang 11 kerusi (seperti PRU14) dan tidak juga menang semua 13 kerusi yang dipertandingkan. Kita menang 10 kerusi sahaja.
”Nurul Izzah sudah ditewaskan di Permatang Pauh, manakala hasrat kita untuk menang di Tasek Gelugor dan Kepala Batas tidak tercapai.
”Maka, pada keseluruhannya ada kecacatan pada pencapaian sasaran kita namun ini keputusan yang sudah dibuat,” katanya.
Tambahnya, setakat ini semua pihak masih menunggu keputusan akhir untuk melihat pembentukan Kerajaan Pusat yang baharu. – UTUSAN