Nurul Izzah desak SPR putuskan segera sama ada PRU15 diteruskan - Utusan Malaysia

Nurul Izzah desak SPR putuskan segera sama ada PRU15 diteruskan

NURUL IZZAH Anwar dalam sidang akhbar meminta SPR membuat keputusan berhubung status PRU15 di Yayasan Aman, Penanti, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan segera sama ada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan ditunda atau sebaliknya susulan banjir yang mula melanda di beberapa negeri.

Katanya, SPR perlu dilihat sebagai badan yang profesional, bebas dan telus dalam mengendali serta menguruskan pilihan raya.

“Sebenarnya, penting untuk memahami urusan aturan pilihan raya kerana SPR diberi peruntukan untuk menunda, bukan buat pilihan raya semula, ini kena jelas.

“Yang mendesak untuk mengundi semasa banjir adalah UMNO, kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), jadi apabila sudah teruskan, hormati proses itu.

“Kalau perlu tunda, beritahu sekarang, umumkan sekarang supaya dapat memudahkan calon dan pengundi di kawasan banjir seperti Lembah Klang untuk membuat persediaan,” katanya dalam sidang akhbar di Yayasan Aman, Penanti, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah yang juga calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Permatang Pauh berkata, beliau tidak dapat menerima sekiranya PRU-15 ditunda pada saat-saat akhir ketika ada desas-desus mengatakan UMNO terkebelakang dan kebarangkalian besar PH akan menang kali ini.

“Justeru, SPR perlu telus dan adil dalam melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang, Goh Choon Aik berharap keputusan yang bakal diambil SPR tidak dipengaruhi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob.

“Adakah SPR akan mengikut kehendak BN terutamanya PM untuk menangguhkan pilihan raya dengan alasan sekolah yang dijadikan pusat mengundi dilanda banjir? Kalau mahu tangguh, putuskan hari ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nurul Izzah berkata, pihaknya akan lebih berhati-hati dalam tempoh 48 jam terakhir kempen PRU15 dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan bagi memastikan kempen berjalan dengan aman.

“Kami amat optimis, namun pada masa sama berwaspada supaya tiada provokasi dari pihak lawan yang dilemparkan kepada kami.

“Nasihat saya, diharapkan penyokong bersabar tetapi terus tetapkan pendirian anda.

“Sekiranya ada provokasi, laporkan terus kepada pihak polis supaya tindakan susulan dapat diambil dengan segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya