Nota penggiat muzik kepada kerajaan baharu - Utusan Malaysia

Nota penggiat muzik kepada kerajaan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
KERAJAAN baharu dah dapat, Perdana Menteri pun dah dapat. Ahli politik bakal selesa dengan jawatan mereka tapi bagaimana pula dengan kita? Tidak perlu pergi jauh, dalam tahun ini sahaja sudah banyak kesukaran yang dialami penggiat seni tempatan.
Peristiwa penutupan Angkasa Event Space antara yang paling membekas. Menjelang akhir tahun, bakat tempatan semakin disisih apabila lambakan konsert artis luar negara dianjurkan. Kita wajib menuntut perkara sebegini ditangani oleh kerajaan baharu yang dilantik. Cukuplah industri seni dilengser selama ini.
MUSUH MORAL 
Industri seni sering dipandang lekeh kerana sudah sekian lama seni dilihat tidak lebih dari sekadar hiburan yang bersifat hedonistik. Nyanyian, tarian, lakonan atau apa sahaja cabang seni yang diusahakan selama ini tidak pernah dilihat sebagai seni yang berharga oleh masyarakat massa.
Sedangkan, seni ada kekuatannya yang terpendam. Hanya negara yang bijak menuai kekuatan seni yang merasai hasilnya. Banyak negara menemui kekuatan seni dan memanfaatkannya.
Ada yang dijadikan senjata propaganda, ada yang dijenama sebagai kuasa lunak dan ada yang menjadikannya sebagai lubuk untuk buat wang. Namun, menjadikan seni sebagai alat politik dan produk ekonomi juga tidak sepenuhnya baik.
Manfaat sebenar seni kepada negara akan dapat dituai sekiranya negara melayan seni dengan seimbang. Seni tidak patut dijadikan barang dagang semata-mata, juga tidak patut dilihat sebagai musuh moral.
Ada ruang kelabu di tengah-tengah dua ekstrem ini yang patut dijadikan tempat bermastautinnya seni. Ruang itu bernama penghargaan dan kebebasan.
DARI REBUNG
Seni itu luas, jadi untuk lebih berfokus, artikel ini akan tertumpu kepada bidang muzik. Penghargaan dan kebebasan untuk muzik dapat dikecap dengan dua strategi.
Pertama, ubah imej muzik daripada alat hiburan hedonistik kepada bidang ilmu yang dipandang tinggi. Tidak ada bezanya muzik dengan bidang ilmu lain seperti sains, teknologi mahupun saudara dekatnya, sastera.
Di Malaysia, muzik menduduki kasta terendah dalam seni. Bidang muzik di negara ini tidak ada budaya kritikan yang kukuh seperti dalam sastera dan filem.
Fungsi pendidikannya juga tidak sekuat kedua-dua bidang itu. Kerajaan baharu boleh ambil bahagian dalam usaha mengubah imej muzik. Sudah ada contoh yang boleh diambil, seperti penganjuran Ipoh Music Symposium setiap tahun dengan kerjasama kerajaan negeri Perak dan penerbitan Jurnal Muzik Malaysia (MJM) oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Galakkan program dan penerbitan sebegini, terutamanya dalam ruang separa atau bukan akademik. Ia boleh membantu mengubah pandangan masyarakat terhadap muzik, seterusnya menggalakkan lagi budaya dokumentasi dan meningkatkan kualiti produk muzik dalam negara.
Silibus pendidikan muzik di sekolah juga boleh dirombak. Pertama, jangan biar subjek itu diajar guru bidan terjun. Ada ramai graduan pendidikan muzik yang layak mengajar.
Kedua, ambil berat kewujudan pendidikan muzik di sekolah. Jangan anggap ia subjek picisan. Muzik ada potensi kerjaya yang luas, mampu bantu aktifkan intelek pelajar dan ada manfaat kesihatan mental. Kunci perjuangan ialah kesabaran dan konsistensi.
Kita ajar penghargaan muzik dari usia kecil lagi, supaya rebung yang lembut itu dapat dibentuk menjadi buluh yang kita mahu. Mungkin satu atau dua generasi lagi, hasilnya akan kelihatan.
BEBASKAN MUZIK 
Industri muzik juga perlu dibebaskan daripada belenggu perundangan yang menekan. Saya akan selalu merujuk kepada penutupan Angkasa Event Space kerana ia contoh yang jelas.
Ruang acara ini ditutup kerana masalah perolehan lesen dan permit yang tidak masuk akal. Bayangkan, ruang yang menjadi hos kepada pelbagai acara dengan cas tiket murah ini perlu bayar puluhan ribu untuk mendapatkan lesen dan permit.
Ini bahana peraturan kerajaan yang suka pukul rata. Ruang acara kecil dikelompokkan sekali dengan kelab malam yang boleh buat untung dengan jualan alkohol sahaja, tak perlu kira untung acara muzik pun.
Dalam hal ini, gabungan politik yang membentuk kerajaan iaitu Pakatan Harapan ada berjanji dalam manifesto mereka. Harapnya mereka akan ingat pada janji ini dan segera melaksanakan reformasi yang sering dilaungkan.
Satu lagi hal adalah tentang cukai hiburan. Ketika ini, persembahan bertiket dikenakan cukai sebanyak 25 peratus. Ini suku daripada keseluruhan harga tiket, termasuk untuk persembahan artis tempatan. Bayangkan kalau harga tiket RM100, RM25 dibayar untuk cukai. Belum kira tiket yang lebih murah.
 Peraturan sebegini menyukarkan penganjuran acara muzik dan menekan semua pihak, termasuk penganjur, pemuzik dan penonton. Belenggu ini perlu dileraikan supaya penganjuran acara yang menjadi nadi industri muzik, terutamanya dalam lapangan independen, lebih subur.
Rakyat meletakkan harapan kepada kerajaan baharu. Untuk industri muzik memberi manfaat lebih besar kepada negara, penghargaan dan kebebasan perlu dikurniakan. Hargai dan bebaskan muzik, ini nota penggiat muzik kepada kerajaan baharu.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya