SEPANG: Kehadiran penyanyi legenda, Datuk Nash mengiringi calon Barisan Nasional (BN), Anuar Basiran ternyata antara tarikan unik kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kini.
Beliau yang juga bekas vokalis rock kugiran Lefthanded era 1980-an diketahui umum sebagai antara artis tempatan tegar menyokong perjuangan politik UMNO dan BN sejak dahulu lagi.
Namun kali ini, pemilik nama sebenar Nasharudin Elias, 63, itu tampil bukan untuk menyanyi lagu di pentas, malah menjadi aktivis jentera BN untuk kerusi Parlimen Sepang pada PRU15.
Kelibat beliau memakai baju T warna biru berlogo BN juga bahkan dapat dilihat masyarakat di sekitar Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rancangan Tanah Belia (RTB) Dato Harun di Dengkil.
Hari ini pula, beliau dengan Anuar mengambil peluang untuk hadir menziarahi keluarga Allahyarham Hamizan Abdul Hamid yang meninggal dunia di Kampung Olak Lempit petang semalam.
Mereka turut bertanyakan khabar dan memberi kata-kata semangat kepada balunya, Lalili Samsuddin serta juga menyantuni anak-anak allahyarham di rumah keluarga berkenaan di sini.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Anuar berkata bahawa Allahyarham meninggal dunia ketika menyertai satu karnival bola sepak sembilan sebelah di padang awam kampung tersebut.
“Arwah merupakan antara pemain yang terlibat dan sepatutnya pagi ini saya dijemput hadir untuk merasmikan program itu tetapi ditunda sebagai tanda penghormatan,” jelasnya.
Nash dalam pada itu ketika ditemui berharap anggota keluarga Allahyarham sentiasa tabah dan menerima dugaan Allah dengan tenang kerana setiap perkara berlaku tentu ada hikmahnya.
Menyentuh PRU15, beliau berharap pengundi Sepang akan memilih semula BN sebagai wakil mereka selepas dua penggal dikuasai pembangkang yang ternyata merugikan masyarakat.
Beliau yang bertugas di Pusat Operasi BN PDM RTB Dato Harun bahkan optimis blok politik tersebut mampu menawan kembali Sepang susulan trend sokongan positif rakyat daerah itu. – UTUSAN