PUTRAJAYA: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berhasrat untuk melahirkan kira-kira 500,000 Peladangnita dan 200,000 Peladang Muda dalam tempoh tiga tahun lagi.
Pengerusinya, Datuk Zamri Yaakob berkata, sasaran itu ditetapkan memandangkan sektor pertanian kini dilihat mampu menjana sumber pendapatan lumayan dan mahu menggalakkan golongan muda menceburi sektor pertanian terutama lepasan universiti.
“Sektor pertanian kini mampu menjamin masa depan dan ia bukan seperti dahulu lagi kerana kami melihat peladang mampu meraih pendapatan lumayan sekitar RM10,000 ke RM20,000 sebulan.
“Pengenalan Peladangnita dan Peladang Muda ini satu langkah baik, malah kami turut minta kerajaan beri sokongan kepada kelompok ini dari segi kewangan dan pelbagai bantuan lain.
“Buat masa ini, kami mula turun ke unit-unit Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri bagi menggalakkan usahawan dan peladang menyertai Peladangnita dan Peladang Muda ini,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) kali ke-49, hari ini.
Katanya, pihaknya turut menggalakkan anak-anak ahli LPP untuk menjadi ahli pertubuhan itu supaya mereka dapat akses kepada pelbagai kursus dan bantuan yang disediakan.
Zamri berkata, pihaknya mahu peladang muda ini mempunyai cita-cita lebih besar termasuk meneruskan legasi pertanian keluarga mereka.
Menurutnya, buat masa ini, Peladangnita terdiri daripada ahli peladang wanita yang berusia 40 tahun ke atas dengan jumlah keahlian kini hampir mencecah 350,000 ahli.
“Manakala Peladang Muda pula terbuka kepada ahli peladang lelaki dan wanita yang berusia 18 tahun hingga 40 tahun dengan keahlian kini seramai 100,000 ahli,” katanya.
Terdahulu, majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Nafas disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dn Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid.
Pada majlis sama, Nafas turut melancarkan logo bagi Peladangnita dan Peladang Muda peringkat Kebangsaan yang tampil dengan lebih segar dan dinamik serta mempunyai identiti yang tersendiri.
Dalam pada itu, Nafas turut menerima penambahan pelaburan Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) – Dana Peladang Kebangsaan daripada tiga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Jumlah tertinggi disumbangkan PPK Kuala Selangor dengan RM6,062,364 diikuti PPK Simpang Lima (RM1541,500) dan PPK Hutan Melintang (RM1,539,478). – UTUSAN