KUBANG PASU: Perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini bakal menyaksikan persaingan empat penjuru di Parlimen Jerlun.
Penyandang kerusi itu yang juga Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dicabar calon Barisan Nasional (BN), Datuk Othman Aziz serta wakil Perikatan Nasional (PN), Dr. Abd. Ghani Ahmad dan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Mohamed Fadzil Mohd. Ali.
Ini merupakan kali kedua Mukhriz, Othman dan Abd. Ghani berentap setelah ketiga-tiga mereka turut bertanding di kawasan sama pada PRU14.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Jerlun, Azmin Zainol Abidin memaklumkan, Mukhriz yang juga Timbalan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) merupakan individu pertama yang menyerahkan borang pencalonan iaitu pukul 9.04 pagi.
Langkah tersebut disusuli Othman yang lengkap mengenakan baju Melayu berwarna biru pada pukul 9.08 pagi.
Abd. Ghani merupakan calon ketiga yang berbuat demikian pada pukul 9.15 pagi sebelum disusuli Mohamed Fadzil, lima minit kemudian.
Pada PRU14, Mukhriz yang bertanding di bawah logo PKR memenangi kerusi tersebut setelah memperoleh 18,695 undi, iaitu majoriti 5,866 undi mengatasi Abd. Ghani yang berada di kedudukan kedua dengan 12,829.
Othman pula berada di kedudukan ketiga pada ketika itu apabila sekadar memperolehi 12,413 undi. – UTUSAN